SEBAGAI Pengerusi Asean, Thailand komited dalam menangani isu persekitaran marin sebagai antara agenda pembangunan mampan.
Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai berkata, aspek pertama kelestarian yang sering muncul dalam pemikiran orang ramai ialah kelestarian alam sekitar yang merupakan sebahagian daripada 17 matlamat Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau SDG.
Beliau berkata, Thailand kini amat bimbang dengan masalah serpihan marin dan kesannya ke atas alam sekitar.
Beliau berkata, penyelidik telah menjumpai serpihan marin atau sebuah ‘pulau sampah’ di tengah-tengah Lautan Pasifik dengan saiz lebih besar dari Bangkok dan serpihan itu dimakan oleh ikan yang kemudian menjadi sajian manusia sehingga menyebabkan masalah kesihatan.
Katanya, laporan berita berkaitan haiwan laut seperti ikan paus dan penyu menderita selepas memakan sisa yang tidak dapat dicerna hanyalah sedikit berbanding kematian sejumlah 100,000 haiwan marin setiap tahun, pada masa yang sama, serpihan marin turut menjejaskan promosi pelancongan mesra alam sekitar sekali gus memberi kesan terhadap sumbangan sektor pelancongan kepada pembangunan negara.
“Semasa menjadi Pengerusi ASEAN, antara agenda pembangunan mampan yang akan ditangani ialah persekitaran marin. Kami benar-benar yakin bahawa tindakan segera perlu dilakukan,” kata Don dalam satu kenyataan.
Tema Kepengerusian Thailand tahun ini ialah ‘Advancing Partnership for Sustainability.’
Don berkata, Pusat Asean bagi Pengajian dan Dialog Pembangunan Mampan akan ditubuhkan di Thailand tahun ini bagi membantu menyelaras aktiviti dan projek berkaitan Inisiatif Pelengkap, sambil menghubungkan pusat serupa di negara anggota Asean untuk membentuk satu rangkaian pusat dalam membantu usaha pembangunan mampan serantau.
“Pusat itu akan dibiayai Kerajaan Thailand,” katanya.
Don berkata, Thailand mengakui bahawa peningkatan kemampanan alam sekitar adalah berkait rapat dengan pembangunan sosial dan ekonomi, antara syarat utama bagi pembangunan mampan.
Beliau berkata, Thailand mengguna pakai langkah untuk memulihara, memulih dan mengurus sumber aslinya dan alam sekitar dengan cara yang lebih lestari, serta memasukkan kesemua elemen ini ke dalam Kerangka Strategi Nasional 20 Tahunnya (2017 - 2036).
Merujuk satu contoh, beliau berkata Thailand telah melancarkan ‘Nationally Determined Contribution (NDC) Roadmap on Mitigation (2021 - 2030)’ untuk memenuhi sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 20 hingga 25 peratus menjelang 2030.
Don berkata, Thailand secara konsisten menganjurkan kerjasama berkaitan isu alam sekitar dengan komuniti global untuk memperoleh manfaat jangka panjang selain bertukar pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik dengan semua rakan kongsi.
“Komitmen Thailand ke arah pembangunan mampan adalah tegas sebagaimana yang dibuktikan melalui pencapaian serta sumbangan kami pada masa lalu di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Kami komited untuk melakukan lebih lagi. Agenda ini adalah penting terutama semasa kami menjadi Pengerusi Asean dan Thailand berharap untuk bekerjasama dengan rakan-rakan di rantau Asean serta seterusnya dalam satu perkongsian global seperti yang ditetapkan dalam 17 Matlamat SDG,” katanya. – Bernama, 5 April, 2019.
Komen