UK minta tarikh Brexit dilanjutkan lagi sehingga 30 Jun


Perdana Menteri Britain, Theresa May hari ini meminta Kesatuan Eropah (EU) melanjutkan lagi tarikh Brexit sehingga 30 Jun. – Gambar EPA, 5 April, 2019

PERDANA Menteri Britain, Theresa May hari ini meminta Kesatuan Eropah (EU) melanjutkan lagi tarikh Brexit sehingga 30 Jun, lapor agensi berita Turki Anadolu.

Surat May berhubung perkara itu dihantar di tengah-tengah laporan bahawa Presiden Majlis Eropah, Donald Tusk akan menawarkan suatu tempoh lanjutan yang sesuai kepada Britain sehingga akhir 2019 dengan pilihan untuk meninggalkan kesatuan itu lebih awal jika perjanjian keluar diratifikasi. 

May menyatakan dalam suratnya kepada Tusk bahawa dasar kerajaan UK ialah sentiasa dan tetap akan meninggalkan EU secara tersusun dan tanpa penangguhan yang tidak wajar.

Sambil menegaskan bahawa Dewan Rakyat setakat ini gagal meluluskan perjanjian keluar yang dicapai dengan EU, May berkata kebuntuan ini tidak boleh dibenarkan berterusan dan menambah bahawa beliau telah mengadakan rundingan dengan pemimpin pembangkang mengenai strategi Brexit. 

May dalam suratnya juga menyataka UK akan berusaha mendapatkan ratifikasi itu bagi memungkinkan 23 Mei sebagai tarikh keluar EU, namun jika ini tidak berjaya, ia akan membuat persediaan yang perlu untuk mengambil bahagian dalam pilihan raya Parlimen Eropah akan datang yang ditetapkan pada hari tersebut. 

UK akan meninggalkan blok itu pada 12 April yang dilanjutkan pada bulan lepas dari 29 Mac, namun Dewan Rakyat belum mencapai kata sepakat berhubung perjanjian keluar yang dipersetujui EU.  – Bernama, 5 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen