KECEWA kerana tidak mampu untuk menabung, Amirul (bukan nama sebenar) meletak jawatan sebagai eksekutif pembangunan perniagaan di sebuah syarikat minyak dan gas di Kuala Lumpur tahun lepas bagi mencari kerja secara haram di United Kingdom.
Hampir setahun berlalu, pemuda berusia 27 tahun itu berkata, dia tidak menyesal mengambil keputusan untuk bekerja sebagai operator kilang dan tinggal di asrama pekerja tanpa perlu bayar sewa malah dibayar 60 pound (RM330) sehari, dalam keadaan itupun dia masih mampu menghantar wang kepada emaknya sekurang-kurangnya RM1,000 sebulan.
“Kalau kat Malaysia saya kerja dengan gaji dalam 3,000 ringgit, sehari nak belanja makan 10 ke 20 ringgit. Kat sana barang mentah pun murah,” kata graduan diploma Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu
Amirul, yang tidak mahu memberikan nama penuhnya, berkata dia boleh dikira beruntung sekiranya mampu menyimpan sekurang-kurangnya 30% daripada gajinya setiap bulan di KL, tetapi kini di UK dia mampu menyimpan sekitar 50%-80% gajinya sebulan.
Amirul bekerja secara haram kerana dia hanya mempunyai visa lawatan sosial, tetapi katanya simpanan yang dibuat ketika berada di UK membuatkan risiko ditangkap dan diusir pihak berkuasa berbaloi.
Pada 2013, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK, Zakaria Sulong dilaporkan berkata yang terdapat hampir 20,000 rakyat Malaysia melanggar visa lawatan sosial mereka untuk bekerja dan tinggal di UK.
Zakaria berkata masalah penyalahgunaan visa ini semakin buruk kerana dalam kalangan negara yang diberikan kemudahan bebas visa, Malaysia diletakkan di tangga ketiga tertinggi dalam kes penyalahgunaan pas lawatan sosial.
Gelombang sama berlaku apabila ramai rakyat Malaysia meninggalkan negara untuk bekerja di luar negara pada 1980-an, ketika pasaran bijih timah runtuh. Rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan meninggalkan bandar yang dahulunya berkembang pesat seperti Ipoh menuju Taiwan, New York dan Jepun untuk bekerja, secara sah mahupun haram.
Lebih 30 tahun kemudian, kejatuhan harga minyak dan peningkatan kos sara hidup sekali lagi menyebabkan ramai belia Malaysia mengambil risiko meninggalkan kerusi empuk pejabat dan memilih pekerjaan kolar biru di luar negara.
Tahun lepas, agensi pekerjaan antarabangsa, Hays International mengeluarkan kajian yang mendedahkan satu pertiga tenaga kerja dunia kehilangan pekerjaan mereka pada 2015 disebabkan kelembapan ekonomi yang berpunca daripada kejatuhan harga minyak.
Kajian yang dijalankan kepada 28,000 pekerja di 28 buah negara juga mendapati 93% majikan mengakui terpaksa membuang sebahagian pekerja mereka.
Jalan kembara yang sukar
Terasa ditipu oleh rakan sendiri yang menjanjikan pekerjaan di sana, Amirul terpaksa menjadi gelandangan selama seminggu kerana tidak mahu membelanjakan wang saku 400 pound yang dibawa.
“Tiga hari pertama saya duduk di rumah salah seorang kenalan kawan saya di situ. Lepas tu sebab segan dan tak nak bazirkan duit dengan bayar hotel, saya homeless dalam seminggu.
“Lepas tu saya berkenalan dengan pelajar dari Malaysia yang sudi nak tumpangkan tempat mereka selama dua minggu sebelum saya dapat kerja baru di kilang pakaian,” katanya.
Katanya, dia tidak bertahan lama bekerja di kilang pakaian itu kerana berasa dibuli dengan kerja berlebihan berbanding pekerja lain dengan bayaran berbeza dari mereka.
Di situ dia dibayar sebanyak 4 pound sejam, enam hari seminggu dari 9 pagi hingga 9 malam. Dia juga menyewa bilik dengan seorang lagi warga Malaysia di sana.
Pada masa sama dia juga bimbang ditahan dengan pihak berkuasa di sana kerana menyalahgunakan pas lawatan sosialnya ke sana dengan bekerja tanpa izin dan tinggal melebihi tempoh yang ditetapkan.
“Untuk selamat dari penguatkuasa sana, saya tak bawa passport dengan saya. Saya simpan dalam bilik. Kalau mereka datang kilang, saya akan cakap saya nak jumpa kawan. Kena pandai-pandailah. Tapi masa kat sana memang tak pernah kena tahan atau mereka buat serbuan,” katanya.
Dia bukanlah satu-satunya rakyat Malaysia yang bersedia berdepan risiko ditahan dan diusir dari UK.
Aina Amir (bukan nama sebenar) berusia 30 tahun, pernah bekerja dalam bidang kreatif di Kuala Lumpur tetapi terjerat dalam hutang dan komitmen kewangan. Dia kemudiannya membuat keputusan untuk bekerja di UK sebagai pembantu dapur di kedai makan, antara tugasnya adalah mencuci pinggan dan membersihkan kedai, memperolehi 5 hingga 10 pound sejam.
Katanya, dia hidup di sana dalam ketakutan ditangkap, berkata mereka yang menyalahgunakan pas lawatan sosial akan diharamkan memasuki UK selama 10 tahun, semua cap jari dan gambar akan ditangkap, digari dan diusir seperti penjenayah.
“Saya bersyukur sebab hanya dapat saksikan dan dengar cerita macam mana mereka-mereka yang tertangkap dan saya antara yang tak dikesan,” katanya.
Aina berkata bekerja dalam persekitaran sebegitu membuatkan dia menyedari persamaan generasinya dengan pekerja asing di Malaysia.
“Bila kat tempat orang kita kurang nak bersosial dan lagi banyak masa nak bekerja. Jadi kita dapat berjimat dan kuat menabung.
“Benda yang sama pekerja asing di negara kita amalkan. Dan bila kita dah lalui perkara ni di tempat orang, kita akan faham dengan situasi pendatang asing di negara kita,” katanya.
Gaji yang menekan
Bagi ramai rakyat Malaysia, harapan mereka untuk bekerja di pejabat dan mendaki tangga korporat sudah diganti dengan pekerjaan lain seperti pemandu Uber atau Grabcar, atau sebagai amah dan pencuci rumah, disebabkan gaji yang ditawarkan untuk graduan baru tidak mampu menampung kehidupan di kota.
Menurut payscale.com pada 2015, kadar purata kenaikan gaji Malaysia hanya sekitar 3.5% berbanding Indonesia 9.8%, Singapura 12% dan Thailand 5.8% dalam tempoh sama.
Kesukaran memastikan gajinya cukup untuk menampung perbelajaan bulannya menyebabkan Afifah Ariffin (bukan nama sebenar) yang berusia 29 tahun meninggalkan pekerjaan dalam bidang kulinari untuk menjadi pengasuh di luar negara.
Afifah yang meminta tidak didedahkan negara yang ditujunya berkata dia merancang untuk bekerja menggunakan visa pelancong, berkata dia boleh memperolehi hampir RM3,000 sebulan sebagai pengasuh berbanding pekerjaan di sini yang menawarkan hanya RM2,100.
“Tugas saya pula hanya tertumpu kepada penjagaan bayi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Lepasan diploma kulinari itu berkata perniagaan kedai kek dan rotinya tidak memberangsangkan dan peluang bekerja dalam persekitaran berbeza dan memberi lebih banyak peluang kepada dirinya menyebabkan dia bersedia mengambil risiko diusir.
Meskipun sedikit bimbang untuk ke sana, tetapi kerisauan itu mula pudar apabila mendapat sokongan keluarganya.
“Saya pergi sebab saya lihat ada peluang pekerjaan. Tawarannya pula lebih berbaloi dan lebih kurang sama dengan kerja saya sebelum ini,” – 14 September, 2017.
Komen