LYNAS mesti mendekontaminasikan terlebih dahulu bahan mentah yang dibawa ke negara ini jika mahu terus beroperasi di Malaysia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata Kabinet hari ini bersetuju syarikat itu boleh terus beroperasi, tetapi dengan syarat bahan mentah dari Australia dibersihkan.
“Mereka boleh terus beroperasi jika bahan mentah dibersihkan sebelum memasuki negara ini,” kata Dr Mahathir pada sidang akhbar di Putrajaya.
“Kita juga mengenakan syarat tambahan yang ia perlu mengeluarkan sisanya. Tetapi di manakah mereka akan membawanya? Australia tidak mahukannya.”
“Kita sudah menawarkan peluang perniagaan kepada syarikat lain dan mereka sanggup mengambil alih Lynas dan berjanji sebelum menghantar bahan mentah ke Malaysia, ia akan ‘didekontaminasi terlebih dahulu’.”
Pada Rabu, Lynas Malaysia Sdn Bhd berkata lesen operasi menetapkan ia mengeksport buangan dari loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng, Pahang hanya “jika perlu”.
Katanya, kaveat ini dinyatakan dalam surat ditandatangani oleh Lynas Corp Australia dan Lynas Advance Material Plant di Gebeng, Kuantan, dan bagi tempoh sementara di bawah lesen operasi loji.
Pengarah Urusan dan Naib Presiden Lynas Malaysia, Mashal Ahmad berkata di bawah yarat lesen operasi yang diberikan kepada Lynas pada masa lalu, penyingkiran sisa dari Malaysia hanya diperlukan jika kilang itu tidak dapat memastikan penggunaan semula sisa buangan yang selamat dan jika ia tidak dapat membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk menyimpan bahan buangan.
Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof, berkata Lynas harus dibenarkan beroperasi untuk terus menjadi contoh baik kerajaan terhadap pelabur asing.
Bagaimanapun Menteri Tenaga, Teknologi Sains, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin mahu Lynas mengeluarkan dan mengeksport sisa buangannya jika ia terus beroperasi di Kuantan. – 5 April, 2019.
Komen