POLIS akan membuka siasatan baharu terhadap kes kehilangan pastor Raymond Koh dan Amri Che Mat selepas ketua polis negara (KPN) baharu dilantik.
Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, mesyuarat kabinet pagi ini bersetuju memulakan siasatan baharu mengenai kehilangan dua aktivis itu dan menubuhkan sebuah kumpulan untuk mengkaji rumusan dari siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
“Kami akan membuka siasatan baharu tetapi selepas KPN baharu dilantik. Terdapat banyak tuduhan disasarkan kepada KPN sehingga kami memutuskan untuk memulakan siasatan selepas pelantikan KPN baharu.
“Kami juga akan menetapkan satu kumpulan baharu untuk mengkaji rumusan dibuat Suhakam,” katanya.
Suhakam baru-baru ini mengejutkan negara menerusi pendedahan penemuan siasatannya bahawa pasukan Cawangan Khas terlibat dalam penculikan dua aktivis berkenaan.
Suhakam secara khusus menyebut dalam laporannya bahawa pasukan Cawangan Khas terlibat dalam penculikan itu.
Mengikut laporan, keluarga aktivis yang hilang memberi tempoh enam bulan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan.
Isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin dan isteri Koh, Susanna Liew berkata, mereka akan memfailkan saman sivil sekiranya tiada tindakan dilakukan.
Mereka bukan sahaja mahu pihak berkuasa termasuk peguam negara bertindak, tetapi mahu bertemu Dr Mahathir dan Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berhubung perkara itu. – 5 April, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen