KERAJAAN mengumumkan agihan hibah Tabung Haji sebanyak 1.25 peratus untuk tahun 2018 – kadar paling rendah dalam tempoh 25 tahun.
Agihan hibah lebih rendah itu berikutan salah guna kuasa dan manipulasi akaun ke atas agensi tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.
“Salah guna kuasa dalam pentadbiran sebelum ini dan manipulasi akaun bagi membolehkan hibah disytiharkan walau jurang defisit membengkak ini berlaku sebelum ini.
“Dengan latar belakang situasi ini kita berhempas pulas pastikan dividen tetap akan keluar berpandu suasana kewangan,” katanya di Putrajaya hari ini.
Katanya, pembayaran hibah itu dibuat selepas Tabung Haji berjaya memenuhi dua syarat—mempunyai keuntungan boleh agih dan aset melibih liabiliti.
Lebihan aset bagi tahun berakhir 31 Disember 2018 adalah RM1 bilion, berdasarkan jumlah aset RM76.5 bilion berbanding liabiliti RM75.5 bilion.
“Ini menunjukkan kedudukan kewangan yang kembali pulih jika dibandingkan dengan keadaan defisit aset RM4.1 bilion (tahun 2017),” katanya lagi.
Jelasnya lagi, agihan hibah itu juga hasil penstrukturan semula Tabung Haji melibatkan pemindahan aset berjumlah RM19.9 bilion.
Jelasnya, aset berkenaan dipindahkan kepada syarikat tujuan khas, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).
Pemindahan aset itu juga melibatkan dua penerbitan sukuk dan juga peruntukan tahunan kerajaan.
Menurutnya, sukuk pertama yang diterbitkan itu berjangka masa tujuh tahun dan menawarkan pulangan RM4.05% setahun.
Sukuk kedua pula, bernilai RM9.6 bilion berjangka masa 10 tahun dengan pulangan 4.10% setahun.
Peruntukan tahunan kerajaan sebanyak RM0.3 bilion adalah bagi memastikan UJSB dapat menebus semula sukuk tersebut, katanya.
Untuk itu, kerajaan memperuntukkan RM 17.8 bilion kepada Tabung Haji yang akan disalurkan dalam tempoh 10 tahun.
“Kerajaan membuat peruntukan sebanyak RM500 juta pada tahun 2020 dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk ditebus semula,” katanya dalam satu sidang media.
Dalam sidang media sama, ketua Pegawai Operasi Tabung Haji Zukri Samat turut membentangkan jumlah aset yang dipindahkan kepada SPV kerana jatuh nilai dan kurang berdaya saing.
Antara aset yang dinyatakan dalam laporan ialah pegangan dalam 106 saham dalam negara ekuriti ekuiti domestik yang mencatat kerugian purata 55%.
Turut kerugian adalah pelaburan dalam perladangan (RM685 juta), hartanah (RM528) juta, pembinaan (RM144 juta) dan minyak dan gas (RM103 juta). – 5 April, 2019

Komen