MAHKAMAH Persekutuan menangguhkan pendengaran permohonan semakan oleh Najib Razak berhubung keputusannya menarik balik penangguhan perbicaraan SRC International Sdn Bhd.
Ketua Hakim Richard Malanjum berkata perkara itu akan didengar pada Rabu, pada hari yang sama dengan panel diketuai olehnya akan memutuskan empat rayuan interlokutori berkaitan kes SRC International.
Tarikh pendengaran adalah dua hari sebelum Malanjum meletakkan jawatan.
Pada 12 April, beliau akan berusia 66 tahun enam bulan - umur persaraan mandatori bagi hakim.
Peguam utama bekas perdana menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah tertinggi hari ini panel yang mendengar permohonan semakan pada Rabu tidak sepatutnya terdiri daripada mana-mana tujuh hakim yang sebulat suara bersetuju untuk menarik balik penangguhan minggu lepas.
“Sudah pasti, sudah pasti,” kata Malanjum.
Pihak pembelaan dijangka memohon penangguhan perbicaraan SRC International, yang bermula dua hari lalu, jika semakan diberikan.
Permohonan semakan disenaraikan untuk didengar semalam, tetapi ditangguhkan selepas panel tujuh hakim hanya mendengar tiga daripada empat rayuan pada hari yang sama.
Panel itu, yang juga terdiri daripada Ketua Hakim Malaya Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, David Wong, dan Hakim Ramly Ali, Tengku Maimun Tuan Mat, Idrus Harun dan Nallini Pathmanathan, mendengar dan memerintah beberapa perkara lain hari ini.
Ia mendengar hujah akhir oleh Najib, yang ingin mendapatkan akses penuh kepada siasatan dan bukti dokumen lain yang akan digunakan terhadapnya dalam perbicaraan SRC International. – 5 April, 2019.
Berita penuh di sini
Komen