TABUNG Haji tidak dapat membayar kadar hibah yang tinggi kepada pendeposit kerana kerugian dalam akaunnya mencecah RM10 bilion, kata ahli Parlimen yang diberi taklimat dari lembaga itu.
Ahli Parlimen Johor Baru, Akmal Nasurullah Mohd Nasir berkata mereka juga diberitahu, antara menyumbang kenaikan defisit ialah pemilikan saham FGV yang dibeli dengan harga tinggi.
Lebih mengejutkan adalah jumlah kerugian dari pelaburan yang tidak dinyatakan dalam laporan pada 2017.
“Dalam taklimat ada membentangkan saham FGV apabila jatuh dan panduan dalaman diubah. Jadi ada kerugian tidak direkodkan dan sebenarnya duit itu sudah tidak ada.
“Pendedahan semalam memang mengejutkan. Kita tahu pada 2017 defisit RM 4.1 bilion tapi ada angka tak dimasukkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Menurutnya, perkara itu dinyatakan dalam Penyata Kewangan Tabung Haji 2017 dalam penjelasan kepada wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di bangunan Parlimen pada Rabu.
Katanya, dalam dalam taklimat itu, Tabung Haji menjelaskan bahawa jumlah hibah yang akan diagihkan itu tidak akan tinggu tetapi hak pendeposit akan terjamin.
“Tapi apa pun pendeposit jangan harapkan dapat hibah yang tinggi,” katanya.

Seorang lagi ahli Parlimen PH, Johari Abdul berkata mereka turut diberitahu bahawa hampir semua urusniaga dan pelaburan Tabung Haji menemui kegagalan.
Beliau memberi contoh, masalah yang terlibat dalam penjualan satu ladang kelapa sawit milik agensi itu di Riau, Indonesia.
“Apabila dijual, (pembeli) hanya membayar 10 peratus daripada jumlah 8,000 hektar atau RM900 juta tapi sudah diberi geran lepas itu bakinya dibayar empat kali.
“Apabila syarikat itu ada masalah, Tabung Haji boleh bagi diskaun RM100 juta yang saya rasa tak betul sangat, memang sangat menyedihkan,” kata ahli Parlimen Sungai Petani itu.
Masalah sebenar yang membelit Tabung Haji itu mula diketahui apabila kerajaan Pakatan Harapan menjalankan siasatan ke atas akaun agensi tersebut pada tahun lalu.
Audit ke atas akaun 2017 agensi itu oleh PricewaterhouseCoopers menunjukkan Tabung Haji membuat bayaran hibah daripada deposit ahlinya dan bukan dari keuntungan.
Tabung Haji juga membuat laporan polis ke atas bekas pengurusan kanannya atas masalah salah urus serta penyelewengan yang terlibat.
Susulan itu, Parlimen diberitahu, Tabung Haji menanggung kerugian sehingga RM10.2 bilion dalam pelaburan saham dan tanggungannya melebihi aset sebayak RM9 bilion.
Johari Abdul yang terkejut dengan perkembangan itu berkata Tabung Haji tidak perlu lagi terlibat dalam perniagaan dan pelaburan supaya tidak lagi menanggung kerugian seperti apa berlaku kini.
“Jadi saya rasa tak payahlah Tabung Haji nak berniaga. Duit pendeposit tak payah labur untuk berniaga, masukkan dalam deposit tetap atau instrumen kewangan lain, hampir semua perniagaan Tabung Haji rugi.” katanya.
Bagi mengatasi masalah itu, Tabung Haji dalam taklimat tersebut turut mengemukakan langkah penyelamatan menerusi suntikan dana kerajaan menerusi syarikat tujuan khas (SPV).
Dana berkenaan juga difahamkan akan diraih melalui pemindahan aset yang tidak digunakan Tabung Haji dalam syarikat SPV tersebut bahi tujuan suntikan modal.

Suntikan dana tersebut juga melibatkan pengeluaran sukuk sebanyak dua kali dengan jumlah sukuk RM20,000 juta, kata Johari Abdul lagi yang hadir taklimat bersama kira-kira 40 ahli Parlimen lain.
Seorang lagi ahli Parlimen, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata beliau yakin dengan langkah pemulihan semula Tabung Haji yang dibentangkan dalam taklimat itu.
“Sekarang ini penambahbaikan telah berlaku berlaku dan masalah dapat dikenal selepas ini tidak akan ada lagi penyelewengan,” kata ahli Parlimen Kapar itu.
Tabung Haji mengumumkan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula TH pada 11 Disember lalu untuk mengataasi masalah kewangan badan itu.
Pada masa sama, operasi pengurusan lamanya dan beberapa bekas pegawai kanan terlibat disiasat oleh pihak berkuasa.
Dividen Tabung Haji untuk tahun 2018 itu dijangka akan diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat jemaah menteri hari ini.
Bagi tahun 2107, TH membayar 4.5% dividen tahunan dan 1.75% dividen khas bagi pencarum yang belum mengerjakan haji – 5 April, 2019.
Komen