PRK Sandakan pada 11 Mei


Alfian Z.M. Tahir

Pengerusi SPR Azhar Harun mengumumkan penamaan calon pada 27 April dan pengundian awal pada 7 Mei. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 April, 2019.

PILIHAN Raya Kecil Parlimen Sandakan akan diadakan pada 11 Mei, dengan hari penamaan calon pada 27 April, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Kerusi itu kosong selepas Ahli Parlimennya yang juga Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt meninggal dunia kerana serangan jantung bulan lepas.

Pengerusi SPR Azhar Harun dalam sidang media hari ini turut mengumumkan pengundian awal akan berlaku pada 7 Mei.

“Tempoh berkempen untuk pilihan raya kecil ini adalah 14 hari bermula hari penamaan calon sehinggalah 11.59pm 10 Mei.

“SPR melantik Mohamad Hamsan Awang Supain dari Majlis Perbandarakan Sandakan sebagai pengurus pilihan raya dan beliau akan dibantu lima orang pembantu.

“SPR akan menggunakan dewan serba guna Sekolah Menengah Kebangsaan Tiong Hua Sandakan sebagai pusat penamaan calon dan pengiraan undi,” kata Azhar.

Azhar juga memaklumkan yang tempoh mengundi sudah dilanjutkan dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang berbanding sebelum ini yang tamat pada jam 5 petang.

SPR akan menayangkan proses pengundian undi secara langsung melalui akaun rasmi Facebooknya.

“Kami mempunyai 770 kakitangan SPR untuk mengendalikan pilihan raya kecil ini. Terdapat 21 pusat pengundian dengan 92 saluran mengundi.

“Bajet untuk pilihan raya kecil Parlimen ini dianggarkan berjumlah RM3.1 juta,” tambahnya.

Azhar berkata SPR menjangkakan 70% pengundi keluar dan menggesa media memainkan peranan menggalakkan pengundi keluar mengundi.

“Kami harap media dapat mainkan peranan mengalakkan orang ramai keluar mengundi pada hari mengundi kerana kami menyasarkan 70% keluar mengundi.”

“Akan ada tambahan 17 saluran mengundi baru untuk elak kesesakan ketika hari mengundi menjadikan jumlah saluran mengundi kepada 92. Pada pilihan raya umum lepas hanya terdapat 75 saluran mengundi,” katanya.

Menurut laporan media, anak perempuan mendiang Wong, Vivian Wong adalah antara nama dicadangkan DAP Sabah untuk diletakkan sebagai calon pada PRK Sandakan.

Vivian, graduan bidang komunikasi bekerja dengan ayahnya di Pejabat Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah. – 5 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen