PERDANA Menteri Australia Scott Morrison hari ini berkata akan mempertimbangkan untuk membenarkan anak yatim seorang pengganas warga Australia yang kini berada di kem pelarian Syria pulang ke tanah air.
Morrison berkata kerajaan kini sedang bekerjasama dengan Palang Merah supaya kanak-kanak tersebut dapat meninggalkan Kem Al-Hol di Syria dan pegawai Australia menilai mereka.
“Kami akan bekerjasama dalam proses itu,” katanya kepada wartawan di Canberra.
“Apabila ada warga Australia yang terperangkap dalam situasi itu, terutamanya kanak-kanak tidak bersalah, kami akan melakukan apa yang saya fikir rakyat Australia harapkan kami lakukan bagi pihak mereka.”
PM menambah yang beliau tidak akan meletakkan “mana-mana kehidupan warga Australia dalam bahaya dengan menerima mereka daripada zon konflik ini,” penderian yang diambil sejak beberapa minggu lepas walaupun wujud rayuan nenek kanak-kanak berkenaan Karen Nettleton.
Kenyataan Morrison dikeluarkan selepas Hoda Sharrouf- anak perempuan berusia 16 tahun pejuang IS warga Australia Khaled Sharrouf- berkata beliau bimbangkang kesihatan adik beradiknya termasuklah kakaknya Zaynab,17, yang hamil tujuh bulan dan “sangat sakit”.
“Bagaimana dengan anak-anak ini? Bagaimana dengan mereka yang sebenarnya tidak mahu pun datang ke sini? Bagaimana dengan orang yang terperangkap dan tidak mahu berada di sini? Mereka tak layak diperlakukan sebegini,” katanya kepada akhbar The Sydney Morning Herald dari kem itu.
“Kami pun warga Australia. Australia perlu buat sesuatu. Mereka perlu masuk campur,” katanya dalam wawancara yang diterbitkan hari ini.
The Sydney Morning Herald berkata lima kanak-kanak keluarga itu- Hoda, Zaynab, adik lelaki mereka Hamzeh, 8, dan dua anak Zaynab, Ayesha, 3, dan Fatima,2- meminta bantuan Australia.
Sharrouf- warga Australia pertama dilucutkan kewarganegaraan di bawah undang-undang anti pengganas- meninggalkan negara itu dan pergi ke Syria pada 2013 bersama-sama isterinya, Tara Nettleton dan dua anak perempuan dan tiga anak lelaki mereka.
Dia menjadi tajuk berita dunia pada 2014 selepas memuatnaik gambar anak lelakinya memegang kepala dipenggal di Twitter.
Dia dipercayai mati dalam serangan udara tentera Amerika pada 2017 bersama-sama anak-anak lelakinya, sementara Nettleton dilaporkan meninggal dunia pada 2015.
Nasib pengganas asing dan keluarga mereka menjadi masalah besar untuk kerajaan dunia ketika konflik dengan IS semakin tamat. Warga asing dalam kem pelarian dianggar dari 30 hingga 40 negara.
Palang Merah pada Rabu menuntut semua kanak-kanak warga asing yang tinggal di kem pelarian dibenarkan pulang ke negara asal.
Perancis bulan lepas menerima kembali lima kanak-kanak yatim piatu dan akan mengendalikan tuntutan itu berdasarkan kes. – AFP, 5 April, 2019.
Komen