Waris mangsa MH17 warga AS saman bank, syarikat pemindah wang


Australia dan Belanda menyalahkan Rusia kerana tragedi yang membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal MH17. – Gambar EPA, 5 April, 2019.

KELUARGA seorang remaja warga AS yang terbunuh dalam tragedi MH17 semalam memfailkan saman terhadap bank Rusia dan syarikat pemindahan wang AS kerana membantu membiayai puak pemisah pro Moscow yang didakwa menembak jatuh pesawat itu di Ukraine.

Dalam saman difailkan di Mahkamah Persekutuan AS, keluarga Quinn Lucas Schansman- satu-satunya warga AS dalam pesawat dari Amsterdam ke Kuala Lumpur- menamakan bank Rusia, Sberbank dan VTB Bank yang mempunyai pejabat di AS dan syarikat pemindahan wang Western Union dan MoneyGram.

Keluarga menuduh bank dan syarikat itu membenarkan pemindahan wang yang banyak kepada puak pemisah di Republik Rakyat Donetsk, terutama daripada mereka yang bersimpati dengan perjuangan itu di AS dan negara lain, membolehkan puak pemisah membeli senjata berat dan mengawal timur Ukraine, tempat di mana peluru berpandu ditembak menjatuhkan MH17.

Pemfailan setebal 63 muka surat itu yang memohon jumlah ganti rugi tidak ditetapkan dibuat berdasarkan undang-undang anti pengganas 1992 AS yang membenarkan mangsa warga AS menyaman pihak yang menyediakan bekalan kepada keganasan.

Antara peguam keluarga tersebut ialah bekas timbalan duta AS ke PBB David Pressman.

“Mereka yang melancarkan peluru berpandu mungkin tidak akan diheret ke mahkamah untuk bertanggungjawab ke atas jenayah mereka, tetapi semua yang terlibat membolehkan mereka mendapat senjata dan menyokong mereka perlu (diheret ke mahkamah),” kata Pressman dalam satu kenyataan.

“Hari ini, perniagaan dan bank yang membenarkan ketamakan mengatasi keadilan dengan menyediakan- setiap hari sepanjang masa- cara untuk pengganas ini menjana wang daripada penyokong mereka seluruh dunia akan dipaksa menjawab.”

Siasatan diketuai Belanda tamat Mei tahun lepas, memutuskan pesawat itu ditembak menggunakan peluru berpandu Buk dikawal Brigade Roket Anti Pesawat 53 Rusia, berpangkalan di Kursk.

Australia dan Belanda menyalahkan Rusia kerana tragedi yang membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal MH17.

Moscow berulang kali menafikan bertanggungjawab dalam tragedi itu. – AFP, 5 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen