Indonesia gesa dunia tolak pengilhakan wilayah Palestin oleh Israel


Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi berkata isu Palestin perlu menjadi keutamaan di PBB dan platform lain. – Gambar EPA, 5 April, 2019.

MENTERI Luar Indonesia Retno Marsudi pada Khamis menggesa masyarakat antarabangsa menolak pengilhakan (pemilikan atau penggabungan paksa) de facto wilayah Palestin oleh Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

Langkah unilateral oleh kuasa yang menduduki itu mengancam penyelesaian dua negara, dan merupakan trend membimbangkan serta menjurus ke arah penyelesaian satu negara berdasarkan survival pihak yang paling kuat, kata Marsudi di forum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai isu Palestin.

“Pengilhakan secara beransur-ansur, tidak berperikemanusiaan dan de facto sedang berlaku di depan mata kita. Situasi menjadi semakin kritikal dan tindakan konkrit oleh masyarakat antarabangsa kini adalah satu kewajipan. Kita mesti menolak sekeras-kerasnya pengilhakan de facto ini,” kata Marsudi.

Isu Palestin perlu menjadi keutamaan di PBB dan platform lain, katanya.

Indonesia, semasa memegang jawatan sebagai presiden Majlis Keselamatan bagi Mei, dijangka mengadakan mesyuarat formula Arria – satu mesyuarat Majlis Keselamatan dengan penyertaan lebih luas – mengenai isu petempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki, kata menteri luar itu.

Beliau berkata situasi kemanusiaan di wilayah yang diduduki itu memerlukan tindakan segera dan konkrit, serta pencabulan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia tidak seharusnya dibiarkan begitu sahaja.

Marsudi berkata parameter berhubung isu Palestin yang dipersetujui di peringkat antarabangsa perlu dihormati.

“Kami tidak melihat sebarang alternatif yang boleh dipercayai kepada penyelesaian dua negara. Ini adalah satu-satunya cara ke arah mencapai keamanan yang adil, berkekalan dan komprehensif antara kedua-dua pihak.”

Beliau juga menggesa negara yang berhasrat memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis agar tidak berbuat demikian.

“Ini adalah satu cara yang lantang untuk menunjukkan solidariti kita dengan Palestin dan mempertahan penyelesaian dua negara,” katanya.

Marsudi turut menggesa PBB memberikan keanggotaan kepada negara Palestin, yang kini menjadi pemerhati. – Bernama, 5 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen