HAKIM hari ini mengarahkan lelaki yang dituduh membunuh 50 orang Islam dalam serangan masjid Christchurch menjalani ujian kesihatan mental, bagi mengesahkan dia layak dibicarakan atas tuduhan membunuh.
Mereka yang terselamat dan saudara mara mangsa yang terbunuh dalam serangan 15 Mac lalu memenuhi kamar mahkamah Christchurch ketika tertuduh Brenton Tarrant muncul dalam siaran langsung ke mahkamah dari penjara kawalan maksimum di Auckland.
Warga Australia berusia 28 tahun itu berdepan 50 tuduhan bunuh dan 39 tuduhan cubaan membunuh dalam serangan di dua masjid di Christchurch, New Zealand yang menggemparkan dunia.
Hakim Mahkamah Tinggi Cameron Mander memerintahkan Tarrant diperiksa dua pakar perubatan bagi menentukan “sama ada dia layak untuk dibicarakan atau gila”.
Suspek- yang menggelarkan dirinya pelampau kulit putih- tidak memberikan reaksi dan hanya mendengar prosiding berlangsung.
Dia tidak diperlukan untuk hadir bicara dan ditahan reman sehingga perbicaraan seterusnya pada 14 Jun depan.
Hampir 50 orang memenuhi kamar mahkamah untuk melihat lelaki yang didakwa melakukan pembunuhan besar-besaran terburuk dalam sejarah moden New Zealand.
Walaupun mereka yang berada di mahkamah boleh melihat Tarrant di skrin ditayangkan, kamera di mahkamah diletakkan bagi membolehkan Tarrant melihat hanya hakim dan peguam.
Sebelum serangan itu berlaku, Tarrant menyebarkan manifestonya di media sosial menggunakan nama sebenarnya dan menggelar dirinya pelampau kulit putih yang mahu membalas dendam kerana serangan dilakukan pengganas Islam di Eropah.
Dia menyiarkan serangan dilakukannya di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood yang penuh sesak kerana Solat Jumaat secara langsung di media sosial.
Dia pada mulanya didakwa dengan satu pertuduhan bunuh sehari selepas serangan.
Bagaimanapun, tuduhan itu dinaikkan kepada 50 pembunuhan dan 39 cubaan bunuh hari ini.
Tarrant memecat peguam dilantik mahkamah pada pendengaran awal, menimbulkan kebimbangan dia mahu mewakili dirinya sendiri bagi menyebarkan propaganda haluan kanannya.
Bagaimanapun, dua peguam Auckland, Shane Tait dan Jonathan Hudson mewakilinya hari ini.
Hakim Mander mengharamkan media merakam atau menangkap gambar prosiding dan menegaskan semua gambar muka Tarrant yang ditangkap sebelum ini dikaburkan.
Beliau juga mengarahkan nama 39 mangsa terselamat tidak didedahkan, berkata pendedahan itu hanya akan menghalang proses penyembuhan mereka dan ringkasan pertuduhan pihak pendakwa tidak didedahkan kepada umum kerana mengandungi maklumat sensitif.
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern menyifatkan serangan itu sebagai “serangan pengganas” dan mengambil langkah serta merta mengetatkan undang-undang senjata api negara itu.
Kerajaan juga berkata mereka akan menyemak semula undang-undang sedia ada berkaitan ucapan dan tindakan kebencian dan menggesa gergasi media sosial berusaha lebih memerangi penyebaran propaganda pelampau dalam talian.
Pihak berkuasa dalam kenyataan terbaru berkata 24 mangsa masih dirawat di hospital, empat daripada mereka termasuk seorang budak perempuan empat tahun dalam keadaan kritikal. – AFP, 5 April, 2019.
Komen