1.1 juta kanak-kanak terjejas kerana krisis Venezuela


Jumlah itu termasuklah mereka yang masih berada di Venezuela, yang pulang dan mereka yang kini jadi pelarian di seluruh Amerika Latin dan Caribbean, kata kenyataan Unicef. – Gambar EPA, 5 April, 2019.

JUMLAH kanak-kanak yang terkesan kerana krisis Venezuela dan memerlukan bantuan kemanusiaan tahun ini dijangka meningkat dua kali ganda kepada 1.1 juta orang berbanding 500,000 tahun lepas, kata agensi kanak-kanak PBB semalam.

Jumlah itu termasuklah mereka yang masih berada di Venezuela, yang pulang dan mereka yang kini jadi pelarian di seluruh Amerika Latin dan Caribbean, kata kenyataan Unicef.

Jumlah terbaru itu menggambarkan kebimbangan dalam kalangan agensi antarabangsa yang krisis politik Venezuela akan bertambah buruk dan memburukkan lagi krisis kemanusiaan dihadapi kanak-kanak dan keluarga mereka.

Unicef menggesa kerajaan negara rantau itu untuk menjaga hak kanak-kanak dan memastikan mereka mendapat akses kepada perkhidmatan asas.

Sebuah laporan dalaman PBB yang dilihat AFP minggu lepas berkata tujuh juta orang- hampir 24% penduduk Venezuela- dalam masalah dan memerlukan bantuan kemanusiaan secepat mungkin kerana ketiadaan akses makanan dan perubatan.

Presiden Nicolas Maduro menyalahkan sekatan AS yang didakwanya punca masalah ekonomi Venezuela, tetapi pemimpin pembangkang Juan Guaido yang mengisytiharkan dirinya presiden semantara berkata, masalah berlaku kerana korupsi dan salah tadbir kerajaan.

Guaido diiktiraf oleh AS dan hampir 50 buah negara dunia.

Majlis Keselamatan PBB dijangka bertemu minggu depan atas permintaan AS untuk membincangkan krisis kemanusiaan Venezuela. – AFP, 5 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen