PENGASAS Amazon Jeff Bezos dan isterinya, MacKenzie, memuktamadkan penyelesaian penceraian terbesar dalam sejarah semalam, dengan Jeff kini mempunyai 75% pegangan dalam Amazon dan isterinya mendapat hampir AS$36 bilion tukaran pegangan.
MacKenzie Bezos berkata beliau akan menyerahkan semua pegangannya dalam The Washington Post dan syarikat penerokaan angkasa Blue Origin kepada Jeff- lelaki terkaya dunia- selain kuasa mengundi dalam lembaga pengarah Amazon.
Jeff Bezos, 55, dan MacKenzie, 48, seorang penulis berkahwin pada 1993 dan mempunyai empat orang anak. Jeff menubuhkan Amazon di garaj rumah mereka pada 1994 dan mengubahnya menjadi gergasi jualan dalam talian.
Dalam pemfailan kepada Suruhanjaya Perdagangan dan Sekuriti AS, Amazon yang dinilaikan pada AS$890 bilion, berkata MacKenzie Bezos akan mengawal empat peratus saham biasa syarikat tersebut.
Nilai saham tersebut ketika ini dianggarkan pada AS$35.6 bilion.
Menurut majalah Forbes, penceraian itu menjadikan MacKenzie Bezos sebagai wanita ketiga terkaya dunia dibelakang waris L’Oreal Francoise Betterncourt Meyers dan Wallmart Alice Walton.
Jeff Bezos, yang kini mengawal 12% Amazon, kekal lelaki terkaya dunia dan pemegang saham terbesar dengan kekayaan dianggarkan AS$110 bilion, kata Forbes, mendahului pengasas Microsoft Bill Gates dan Pengerusi Berskhire Hathaway Warren Buffett.
Jeff dan MacKenzie Bezos mengumumkan perpisahan mereka Januari lalu.
Bezos selama ini tidak banyak mendedahkan kehidupan peribadinya.
Tetapi, beliau jadi tumpuan pada Januari lalu, selepas National Enquirer mendedahkan punca keretakan perkahwinan berusia 25 tahun itu disebabkan beliau mengadakan hubungan sulit dengan bekas pembaca berita Lauren Sanchez.
Apabila National Enquirer, dikawal oleh sekutu Presiden Donald Trump, David Pecker mengancam mendedahkan gambar intimnya dengan Sanchez, Bezos melawan balik dengan mendedahkan butiran hubungan sulitnya sendiri.
“Daripada tunduk kepada desakan dan ugutan, saya memutuskan untuk menerbitkan apa yang mereka hantar kepada saya, walaupun berdepan dengan rasa malu,” katanya.
Seorang peguam National Enquirer menafikan dakwaan yang akhbar tabloid itu cuba mengugut pengasas Amazon.
Trump merupakan pengkritik The Washington Post, yang dibeli Bezos pada 2013, mendakwa akhbar itu bias kepadanya dan menggelarkannya “Amazon Washington Post”.
Saham Amazon jatuh 0.1% pada nilai AS$1,818.86 ketika ditutup semalam. – AFP, 5 April, 2019.
Komen