RAKYAT kini sudah sedar semua dakwaan yang Pakatan Harapan lemparkan terhadapnya adalah fitnah belaka, kata bekas perdana menteri Najib Razak, sehari selepas perbicaraan kes jenayah terhadapnya bermula.
Najib menyatakan keyakinan itu berdasarkan sambutan terhadapnya dalam semua acara beliau turun padang bertemu rakyat.
Buktinya, kata Najib, dalam acara-acara itu, ramai rakyat datang bertemu dengannya meminta maaf kerana selama ini mencerca beliau dengan pelbagai tuduhan yang dikaitkan dengannya.
“Orang sudah minta maaf dengan saya banyak. Tadi pun keluar dari surau, ada orang bisik dekat saya, ‘Datuk, saya minta maaf dahulu saya mencaci Datuk. Sekarang saya tahu cacian saya itu tidak benar.’ Saya maafkan.
“Saya cadang hendak buat satu bilik, siapa yang hendak minta maaf dekat saya… boleh. Orang Asli kata boleh bersusun-susun, sebab hari ini orang sudah tahu,” katanya berseloroh ketika program “Santai bersama Bossku” di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, malam tadi.
Malah kata Najib, sekiranya beliau dapat sambutan daripada rakyat seperti sekarang, Barisan Nasional (BN) tidak akan tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
“Saya hairan, sehari dua ini saya lebih popular daripada saya menjadi perdana menteri. Kalaulah popular macam hari ini, tidak kalah pilihan raya kita. Dekat mana silap pun saya tidak tahu.
“Kita telah kena fitnah dan yang kedua, kerana janji palsu. Saya tidak kata kita tidak ada kelemahan, mustahil. Mana gading tidak retak, mana bumi tidak kena hujan tetapi janganlah seinci jadi sedepa,” ujarnya.

Tambah Najib, kerajaan yang ada pada hari ini mempunyai ciri-ciri munafik iaitu apabila bercakap, mereka berbohong dan apabila berjanji, mereka tidak tunaikan.
Bekas perdana menteri malam tadi membuat penampilan sulung berkempen dalam Pilihan Raya Kecil Rantau untuk calon BN, Mohamad Hasan, yang juga timbalan presiden Umno.
Mohamad sebelum ini berkata beliau menjemput Najib ke Sendayan kerana pembangunan di kawasan itu hasil buah tangan beliau, termasuk pemindahan pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Jika tiada bantuan kerajaan persekutuan sebelum ini khususnya Najib, pembangunan Sendayan tidak akan dapat dijalankan,” kata Mohamad, awal minggu ini.
Najib, 66, sedang dibicarakan atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram milik SRC Internatonal Sdn Bhd berjumlah RM42 juta. SRC International ialah bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Perbicaraan yang bermula minggu ini, dan akan bersambung 15 April, adalah berkaitan tujuh daripada 42 pertuduhan yang dikenakan ke atas Najib. – 5 April, 2019.
Komen