Kerjasama semua pihak elak insiden kebakaran bangunan warisan berulang


Looi Sue-Chern

Tiga buah rumah kedai di Tapak Warisan Dunia Pulau Pinang musnah dalam kebakaran pagi semalam. – Gambar The Malaysian Insight, 13 September, 2017.

DERETAN rumah kedai di Tapak Warisan Dunia (Unesco) di bandaraya George Town, Pulau Pinang mudah terdedah kepada kebakaran. Namun, isu keselamatan kebakaran ini berkait rapat dengan sikap orang awam terutamanya pemilik bangunan. 

Dalam minggu ini sahaja, beberapa rumah kedai pra-sejarah terbakar dalam dua hari berturut-turut.

Pengurus Besar George Town World Heritage Incoperated (GTWHI), Dr Ang Ming Chee berkata penyesuaian  bagi memaksimumkan ruang kerja dan ruang tamu menyebabkan bangunan-bangunan ini mudah terdedah kepada kebakaran.

Dr Ang berkata, sesetengah bangunan ini digunakan sebagai tempat menyimpan barangan mudah terbakar di dalam bilik tertutup dan kabel elektriknya tidak diselenggara dengan baik. Ditambah pula kurangnya penyediaan menghadapi kebakaran di samping ketiadaan sistem amaran, alat pengesan asap atau alat pemadam kebakaran.

“Rumah-rumah kedai di George Town memang mempunyai ciri-ciri yang mengurangkan risiko kebakaran dan mencegah api daripada merebak. Tetapi penyesuaian kegunaannya melemahkan ciri-ciri ini.

“Keperluan keselamatan kebakaran yang dikeluarkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat yang harus diikuti oleh pemilik bangunan adalah mencukupi. Tetapi kita harus meningkatkan perhatian supaya risiko kebakaran dapat dikurangkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sebuah rumah kedai pra-sejarah di Lebuh Cintra terbakar hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 13 September, 2017.

Petang tadi, sebuah rumah kedai pra-sejarah di Lebuh Cintra terbakar, merosakkan 90% bangunan dan memusnahkan bumbung unit bersebelahan, kata bomba.

Pagi semalam, tiga rumah kedai dua tingkat di Jalan Penang terbakar. Kebakaran bermula dari sebuah kedai menjual cenderamata dan barangan antik.

Beberapa kebakaran pernah berlaku melibatkan bangunan-bangunan pra-sejarah di George Town. Dua tahun lalu, tiga buah kedai warisan di Lebuh Penang dijilat api. Manakala tahun lalu, lapan rumah kedai Jalan C.Y juga terbakar.

Kesemua bangunan, termasuk bangunan warisan adalah tertakluk kepada Akta Keselamatan Kebakaran 1998. Sebarang kerja ke atas bangunan adalah tertakluk kepada kelulusan majlis tempatan dan mesti mematuhi Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Undang-undang Kecil Bangunan Seragam dan Rancangan Kawasan Khas George Town – yang turut menyediakan panduan bagi keselamatan kebakaran dan keperluan pencegahan kebakaran.

Ang berkata, walaupun mempunyai kemudahan yang cukup seperti alat pemadam kebakaran dan latihan kebakaran adalah penting, usaha bersama daripada masyarakat juga sama pentingnya dalam menghadapi kebakaran.

“Apabila berlaku kecemasan, mereka yang tinggal atau bekerja di dalam bangunan warisan juga perlu membuat laluan pemindahan,” katanya.

Dia juga mengakui penglibatan orang awam untuk mendidik pihak-pihak berkepentingan tentang faedah dan kepentingan mencegah kebakaran adalah mencabar.

Ang yang kini berada di Jepun untuk menghadiri latihan Uesco mengenai pengurangan bencana berkata, dengan dua kejadian terbaru ini, banyak lagi yang perlu GTWHI lakukan untuk mencegah kebakaran di bandar warisan yang mengancam harta warisan yang nyata.

Walaupun kebakaran boleh tercetus daripada pelbagai punca, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggesa pemilik-pemilik bangunan supaya lebih bertanggungjawab dalam mencegah kebakaran.

Pengarah Jabatan Bomba Saadon Mokhtar berkata kes-kes kebakaran melibatkan bangunan yang mempunyai masalah pendawaian dan penyambungan haram adalah perkara biasa.

Pada tahun lepas, 116 daripada 144 struktur bangunan yang terbakar di Pulau Pinang berpunca daripada percikan dan litar pintas.

“Bidang kuasa jabatan ini terhad. Kami tak boleh memasuki hartanah persendirian untuk memeriksa pematuhan keselamatan kebakaran melainkan ada aduan.

“Kami hanya akan masuk ke dalam premis apabila pemilik memohon lesen perniagaan. Kami akan periksa jika pemilik mematuhi garis panduan seperti mengadakan pintu kecemasan dan alat pemadam kebakaran yang mencukupi.”

Memandangkan Jabatan Bomba tidak mengeluarkan lesen atau mempunyai kuasa untuk laksanakan penguatkuasaan, Saadon berkata kakitangannya boleh memberi nasihat apabila perlu dan meningkatkan kesedaran tentang keselamatan kebakaran.

Katanya, apa yang penting adalah kesedaran orang awam.

“Ia lebih kepada kesedaran. Orang ramai harus menjaga premis mereka dan mengambil langkah pencegahan kebakaran,” katanya.

Setiausaha MBPP Yew Tung Seang juga mempunyai pendapat yang sama dan mendesak pemilik bangunan bertanggungjawab ke atas premis mereka.

“Pihak berkuasa tempatan tidak boleh memeriksa semuanya dari pendawaian ke pintu dan bumbung… setiap pemilik mestilah bertanggungjawab,” katanya.

Yew juga bersetuju usaha bersepadu amat diperlukan dalam melihat masalah, punca kebaran di rumah kedai warisan dan apa yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa yang berbeza. – 13 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen