MUHAMAD Firdaus Azman, 18, mendapat kejutan biadab apabila pemergiannya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan sakit kepala dan demam tidak kesampaian, diberitahu klinik pesakit luar sudah berpindah ke Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL) yang baru dibuka.
Firdaus, yang terpaksa berjalan kaki ke HKL, mendapati terpaksa menapak sejauh 2km lagi ke klinik baru, yang terletak di Jalan Fletcher, Titiwangsa, di bawah panas matahari terik.
“Biasanya saya mengambil masa hanya enam minit dengan berjalan kaki dari rumah di Kampung Baru ke HKL.
“Tetapi, sekarang saya perlu berjalan lebih 25 minit untuk sampai ke klinik baru kerana tiada pengangkutan awam untuk ke sana,” katanya.
KKKL bernilai RM50 juta, dibina bagi mengatasi kesesakan pesakit di HKL, mempunyai kapasiti merawat 2,000 hingga 3,000 pesakit sehari.
Pentadbiran dan operasi di klinik yang dikendalikan sepenuhnya dengan sistem komputer “Teleprimary Care (TPC)”, meliputi pendaftaran pesakit sehingga koleksi ubat di farmasi.

Walaupun KKKL dinobatkan sebagai klinik kerajaan terbesar di negara ini, ia mendapat kritikan ramai penduduk sekitar seperti Kampung Baru, Datuk Keramat, Setapak, Sentul dan pusat bandar kerana tiada pengangkutan awam.
Tiada perhentian bas atau teksi di kawasan luar klinik, yang menyebabkan pesakit perlu berpanas terik atau berhujan jika ingin menunggu teksi, atau perlu berjalan kaki pada jarak jauh untuk mendapatkan bas.
Samirah Zakaria, 21, berkata beliau tidak mengetahui klinik pesakit luar berpindah dari HKL ke premis baru pada 3 April.
“Apabila tiba di HKL dari Setapak, saya diberikan risalah oleh pegawai kesihatan dengan peta ke klinik baru.
“Saya menghabiskan wang mengambil teksi dari rumah dan sekarang terpaksa membelanjakan tambahan RM6 untuk pergi ke klinik baru,” katanya, sambil menambah sepatutnya wujud komunikasi lebih baik untuk memberitahu orang ramai tentang pemindahan itu.
Bagaimanapun, bagi yang mempunyai kenderaan sendiri, tempat letak kereta mencukupi di KKKL dua tingkat baru disediakan.
Pesakit Syed Muhamad Shari, 40, berkata dia tidak perlu bimbang soal kelewatan temu janji kerana ruang letak kereta yang sentiasa mencukupi, berbanding di HKL yang sentiasa penuh.
“Ia begitu mudah untuk memakir kereta di sini berbanding dengan di HKL. Kadang-kala tidak ada tempat letak kereta dan kita perlu berjalan jauh untuk sampai ke klinik pesakit luar walaupun mendapat tempat letak kereta,” katanya.
Jurucakap Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkata mereka sedar masalah pengangkutan awam yang dihadapi pesakit di KKKL, dan mengemukakan perkara itu kepada pihak berkuasa berkaitan.
Jabatan itu sudah menghubungi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Prasarana Malaysia Berhad dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk tindakan lanjut dan menunggu tindak balas mereka, kata pegawai itu.
Dengan pemindahan klinik pesakit luar ke KKKL, pegawai menjangkakan isu kesesakan di HKL akan berkurangan. Hospital ini masih akan mengendalikan kecemasan dan kemasukan bagi pesakit dengan penyakit kritikal. – 9 April, 2017.
hospital-shifting-klinik-kesihatan(cs6).jpg)
Komen