Kiraan, undian semula di 8 pusat mengundi di Thailand


Khamis lepas, SPR mengumumkan Palang Pracharath yang menyokong Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-o-cha meraih 8.4 juta undi manakala Pheu Thai, parti yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri  Thaksin Shinawatra mengekori rapat selepas mengumpul 7.9 juta undi. – Gambar EPA, 4 April, 2019.

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) Thailand mengarahkan supaya pilihan raya baharu diadakan di enam pusat mengundi dan kiraan semula undi di dua pusat mengundi berikutan jumlah pengundi yang keluar mengundi tidak berpadanan dengan kertas undi  dalam Pilihan Raya Umum negara itu 24 Mac lepas.

Timbalan Setiausaha Agung SPR, Sawaeng Boonmee berkata, undian semula akan diadakan di enam pusat mengundi di empat wilayah iaitu Lampang (dua pusat mengundi), Yasothon (dua),  Phetchabun (satu) dan Phitsanulok (satu).

Beliau berkata, kiraan semula undi pula akan dilakukan di dua pusat mengundi di daerah Nam Pong dalam wilayah Khon Kaen di timur laut Thailand.

“Keputusan ini dicapai selepas kami mendapati jumlah kertas undi yang ditandakan tidak berpadanan dengan jumlah pengundi yang keluar mengundi di kesemua pusat pengundi terbabit,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR hari ini.

Beliau berkata, SPR akan mengumumkan tarikh pilihan raya baharu yang dijangka diadakan selepas Festival Songkran, cuti perayaan Tahun Baharu Thailand yang dijadual dari 13 hingga 16 April ini.

Pada 24 Mac lepas, Thailand mengadakan pilihan raya pertama selepas rampasan kuasa tentera  2014 untuk memilih  500 calon ke Parlimen yang mana 350 daripada mereka dipilih secara terus menerusi pilihan raya manakala 150 orang lagi dipilih melalui perwakilan senarai parti.

Mengenai formula peruntukan kerusi senarai parti, Sawaeng berkata, ia sedang dalam pertimbangan.

“Ia masih belum muktamad… kiraan semula dan undian semula di pusat mengundi terbabit akan memberi kesan kepada 150 peruntukan kerusi senarai parti,” katanya.

Media tempatan melaporkan terdapat dua formula untuk mengira jumlah anggota parlimen senarai parti yang boleh menyebabkan perbezaan jumlah parti anggota parlimen.

Khamis lepas, SPR mengumumkan Palang Pracharath yang menyokong Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-o-cha meraih 8.4 juta undi manakala Pheu Thai, parti yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri  Thaksin Shinawatra mengekori rapat selepas mengumpul 7.9 juta undi, diikuti Future Forward (6.2 juta), Democrat (3.9 juta) dan Bhumjaithai (3.7 juta).

Pheu Thai memenangi sebahagian besar kerusi pilihan raya iaitu 137 kerusi, dikuti  Palang Pracharath (97),  Bhumjaithai (39), Democrat (33) dan Future Forward Party (30).

SPR dijangka mengumumkan keputusan rasmi pada 9 Mei. – Bernama, 4 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen