LELAKI yang dituduh melakukan serangan di masjid Christchurch pada bulan lepas bakal menghadapi 50 dakwaan membunuh apabila dihadapkan ke mahkamah minggu ini, kata polis New Zealand hari ini.
Warga Australia, Brenton Tarrant sebelum ini didakwa atas satu tuduhan membunuh tetapi polis mendedahkan angka kematian dan mangsa yang cedera mungkin menyebabkan tuduhan ke atasnya ditambah.
Lelaki itu bakal dihadapkan semula ke mahkamah, esok.
“Lelaki yang ditahan kerana terlibat dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch akan berdepan 50 tuduhan membunuh dan 39 cubaan membunuh apabila dihadapkan semula ke mahkamah tinggi pada Jumaat ini,” kata polis dalam satu kenyataan.
Polis berkata, pihaknya juga sedang meneliti tuduhan lain terhadap Tarrant tetapi tidak menjelaskan secara terperinci berkenaan hal itu.
Tuduhan lain mungkin mempunyai kaitan sama ada mahkamah berpendapat ia adalah serangan pengganas.
Suspek berusia 28 tahun itu bakal dihadapkan ke mahkamah menerusi pautan video di mahkamah Christchuch dari penjara keselamatan maksimum di Auckland.
Tarrant sebelum ini memecat seorang peguam yang dilantik mahkamah selepas hadir ke perbicaraan pertamanya pada 16 Mac lalu.
Mahkamah berkata, Tarrant tidak perlu membuat sebarang pengakuan pada proses pendengaran pertuduhan esok.
Mahkamah juga dilaporkan sudah mengeluarkan arahan melarang media daripada merakam atau mengambil gambar lelaki itu. – AFP, 4 April, 2019.
Komen