Indonesia mungkin tutup Pulau Komodo buat sementara waktu


Pulau Komodo menempatkan kira-kira 2,300 biawak komodo yang boleh membesar sehingga 3 meter panjang dan mencapai berat sehingga 90 kilogram. – Gambar EPA, 4 April, 2019.

INDONESIA mungkin menutup Pulau Komodo buat sementara waktu sebagai langkah untuk mengurangkan cubaan penyeludupan haram biawak gergasi itu, kata agensi pelancongan tempatan hari ini.

Penutupan yang dicadangkan sedang menunggu kelulusan kerajaan pusat akan bermula pada tahun depan, namun tidak melibatkan beberapa pulau lain yang berhampiran.

Setiap tahun, beribu-ribu pelancong datang ke gugusan kepulauan di bahagian timur Indonesia itu yang merupakan satu-satunya tempat di dunia menjadi habitat semulajadi biawak komodo.

Pulau Komodo menempatkan kira-kira 2,300 biawak komodo yang boleh membesar sehingga 3 meter panjang dan mencapai berat sehingga 90 kilogram.

“Sektor pelancongan yang berkembang di Pulau Komodo menyebabkan habitat haiwan itu terganggu,” kata Ketua Agensi Pelancongan Tempatan, Marius Ardu Jelamu kepada AFP.

“Apabila terlalu ramai pelancong ke Taman Negara Komodo, habitat haiwan itu terjejas teruk.

“Jakarta sepakat untuk menutup sementara taman itu,” kata Marius.

Ketika cadangan penutupan dibuat, mereka akan berusaha memulihkan tumbuhan endemik dan meningkatkan jumlah rusa, babi dan mangsa semula jadi lain.

“Kami mahu Pulau Komodo menjadi seperti Galapagos, jadi kita perlu memulihkan flora dan fauna,” katanya.

Langkah itu termasuk kuota pelawat yang lebih ketat dan sistem tiket baharu yang memerlukan pelancong menempah secara atas talian dari semasa ke semasa bukannya membayar secara langsung di lokasi.

Tahun lepas, gabenor wilayah mencetuskan kontroversi apabila dia mencadangkan pelawat membayar AS$500 (RM2,040) untuk melihat biawak komodo tersebut, kira-kira 50 kali ganda dari bayaran asal.

Marius berkata, keselamatan yang lebih ketat juga dicadangkan untuk mengelakkan spesies terancam itu diseludup.

Minggu lalu, polis di Jawa Timur menggagalkan cubaan untuk menyeludup lima ekor biawak komodo dan menangkap sekumpulan pengedar yang dikaitkan dengan kes itu.

Namun Kementerian Alam Sekitar mengesahkan haiwan itu bukan diseludup dari taman negara berkenaan. – AFP, 4 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen