Keterangan dengar cakap diterima dalam siasatan awam, kata Suhakam


Noel Achariam

bukti khabar angin dibenarkan dalam siasatan mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat mengikut Seksyen 14 (1) (a) dan (d) Akta Suhakam, kata Pesuruhjaya Mah Weng Kwai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 April, 2019.

KETERANGAN dengar cakap diterima sebagai bukti dalam siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kerana suruhanjaya itu tidak tertakluk kepada piawaian sama yang diperlukan dalam kes jenayah atau sivil, kata Mah Weng Kwai.

Pesuruhjaya Suhakam itu mengulas kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam iaitu rumusan siasatan mengenai kehilangan dua aktivis dibuat berdasarkan keterangan dengar cakap.

Mah berkata keterangan dengar cakap dibenarkan dalam siasatan mengenai kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis dari Perlis, Amri Che Mat mengikut Seksyen 14 (1) (a) dan (d) Akta Suhakam.

Mengikut akta berkenaan, panel siasatan tidak terbatas oleh Akta Keterangan 1950 dalam penerimaan bukti semasa siasatan awam.

Pendekatan fleksibel diguna pakai apabila bukti kebiasaannya tidak diterima dalam prosiding jenayah dan sivil, tetapi dibenarkan dalam siasatan awam.

“Saya tak tahu sama ada Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad) sudah baca dua laporan kami.

“Kalau ada sesiapa mahu berikan pandangan mereka, mereka perlu baca dan buat penilaian.

“Semuanya dinyatakan dalam laporan berdasarkan bukti (yang dikemukakan).

“Saya rasa perlu ditegaskan bahawa kami sudah mengumpulkan fakta yang mencukupi bagi untuk pasukan petugas khas menyiasat kes,” katanya ketika ditemui di ibu pejabat Suhakam hari ini.

Dr Mahathir semalam menggesa Suhakam mengemukakan bukti bagi menyokong rumusannya bahawa pasukan Cawangan Khas terlibat dalam kehilangan paksa Koh dan Amri.

“Mereka perlu kemukakan bukti, ini hanya dengar cakap,” kata perdana menteri.  – 4 April, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen