TIGA ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dari Barisan Nasional (BN) dan PAS tidak perlu menghantar surat letak jawatan kepada Speaker Dewan Rakyat, kata ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, mereka cukup sudah dianggap melepaskan jawatan apabila tidak hadir ke prosiding PAC.
“Tak dapat surat, tidak pergi mesyuarat samalah, tidak bermakna kita beri surat kalau masuk mesyuarat, sama sahaja,” kata Ismail Sabri ketika sidang medianya di lobi Parlimen hari ini.
Pada 25 Mac, ahli PAC daripada BN dan PAS mengumumkan peletakan jawatan mereka serta merta sebagai tanda protes membantah tindakan kerajaan mengekalkan Ronald Kiandee sebagai pengerusi PAC.
Keputusan ini dibuat berikutan tindakan kerajaan yang dilihat gagal memenuhi janji manifestonya untuk melantik Pengerusi PAC dalam kalangan ahli Parlimen pembangkang.
Ismail Sabri berkata, BN sudah memberi notis cadangan pada 1 Mac supaya Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad dilantik ke jawatan itu memandangkan beliau mendapat sokongan bukan saja daripada BN dan PAS, malah ahli Parlimen kerajaan sendiri.
Selain Noraini, dua lagi ahli Parlimen pembangkang yang menganggotai PAC adalah Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan dan Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah.
Putrajaya dijangka akan membentangkan usul menggantikan Ronald sebagai pengerusi PAC dengan Noraini minggu hadapan.
Usul tersebut adalah perkara sembilan pada Aturan Mesyuarat sidang Dewan Rakyat hari ini dan akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Noraini yang juga Ketua Wanita Umno dilantik sebagai ahli PAC pada Ogos tahun lalu.
BN mencalonkan beliau sebagai pengerusi PAC baharu susulan Kiandee yang juga ahli Parlimen Beluran masuk Bersatu pada 15 Mac. – 4 April, 2019
Komen