KERAJAAN tidak akn masukkan semula Seksyen 88A Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian), kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.
“Selepas mengkaji keputusan Mahkamah Persekutuan tahun lalu yang akan mengikat keputusan mahkamah bawahan, kerajaan memutuskan tidak akan meminda (untuk memasukkan semula) Seksyen 88A,” katanya ketika pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Seksyen 88A menyatakan agama seorang kanak-kanak hasil sesuatu perkahwinan “hendaklah kekal menjadi agama pihak-pihak dalam perkahwinan itu sebelum penukaran dibuat”. Ia digugurkan daripada akta kerana bertentangan dengan Perlembagaan.
Muhyiddin menjawab soalan daripada Azalina Othman Said (Pengerang-BN) yang meminta penjelasan kerajaan berhubung pindaan itu.
Azalina, bekas menteri undang-undang, sebelum ini pernah mencadangkan akta itu dipinda ketika Putrajaya di bawah pentadbiran Barisan Nasional tetapi mendapat bantahan.
Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan pertukaran agama tiga anak M. Indira Gandhi kepada Islam oleh bekas suaminya, Muhamad Riduan Abdullah tidak sah dan terbatal. – 4 April, 2019.
Komen