PROSIDING jenayah yang akan diketuai mahkamah agung dan peguam negara telah dimulakan terhadap pemimpin pembangkang Venezuela, Juan Guaido, yang mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara, lapor agensi berita Rusia Sputnik memetik kenyataan Julio Garcia Zerpa, anggota Dewan Perhimpunan Kebangsaan Venezuela yang dikuasai kerajaan.
Pada Selasa, dewan itu memutuskan mengemukakan prosiding kehakiman terhadap Guaido.
Pada Rabu, ketua Dewan Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Diosdado Cabello berkata, langkah itu bermakna melucutkan imuniti parlimen Guaido yang mengetuai Dewan Perhimpunan yang dikuasai pembangkang.
“Satu proses jenayah yang akan diketuai Mahkamah Agung dan peguam negara dimulakan terhadapnya. Sistem keadilan akan membuat keputusan (dalam kes Guaido) berdasarkan bukti yang relevan. Beliau akan diberikan hak untuk membela diri.
“Keadilan akan ditegakkan. Dia harus bertanggungjawab atas perbuatannya. Dia perlu menerima akibat kerana mengkhianati negara ini,” kata Garcia Zerpa yang mengetuai jawatankuasa perundangan Dewan Perhimpunan Kebangsaan pada Rabu menerusi stesen TV Venezuela. – Bernama, 4 April, 2019
Komen