Putrajaya bentang usul pinda Perlembagaan status Sabah, Sarawak


Chan Kok Leong Mohd Farhan Darwis

Cadangan pindaan ke atas Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan itu dibacakan di Dewan Rakyat untuk kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri VK Liew. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2019.

SABAH dan Sarawak akan jadi wilayah berasingan dan tidak dikelompokkan bersama negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia dalam cadangan pindaan ke atas Perlembagaan Persekutuan yang dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang bagaimanapun menyifatkan cadangan pindaan itu tidak memberi apa-apa makna.

Cadangan pindaan ke atas Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan itu dibacakan di Dewan Rakyat untuk kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri VK Liew.

Perkara 1(2) yang hendak dipinda itu nanti akan berbunyi: 

(2) Negeri-negeri Persekutuan adalah

a. Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu, dan; 

b. Sabah dan Sarawak.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri (Bera-BN) berkata pindaan itu tidak memberi apa-apa makna kerana tidak memenuhi tuntutan kedua-dua negeri.

“Kedua-duanya masih juga negeri. Cuma ada grup A dan grup B. Pindaan ini tidak menjawab tuntutan Sabah dan Sarawak. Hanya dua baris saja,” kata naib presiden Umno itu.

Fadillah Yusof (Petrajaya-GPS) mencadangkan agar sebuah jawatankuasa pilihan Parlimen dibentuk untuk membincangkan cadangan pindaan sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Ini juga menjejaskan hak negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia,” tambahnya.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menolak bantahan itu. – 4 April, 2019.

Ahli-ahli Parlimen pembangkang bagaimanapun menyifatkan cadangan pindaan itu tidak memberi apa-apa makna. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 April, 2019.

Sementara itu dalam sidang media bersama di lobi Parlimen, ahli- ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak serta Barisan Nasional dan PAS menjelaskan alasan mereka membantah usul pindaan Perlembagaan, yang mahu menjadikan sebagai rakan kongsi setara dengan Semenanjung Malaysia, dan bukan lagi bertaraf negeri seperti sekarang.

Cadang jawatankuasa pilihan

Mereka mahu cadangan pindaan itu ditarik balik dahulu kerana bersifat kosmetik. Mereka sebaliknya mahu kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas mengkaji cadangan pindaan sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

“Jawatankuasa khas pilihan Parlimen yang kami cadangkan ini belum ada. Kami mahu jawatankuasa khusus,” kata Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong-GPS) yang juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat.

“Kerajaan buat usul dan kita pilih ahli Parlimen daripada Sabah, Sarawak, dan Semenanjung untuk jalankan tugas bertanya kepada orang Sabah, Sarawak dan Semenanjung berkenaan Perlembagaan dan jawatankuasa pemandu apa sebenarnya yang mereka mahukan,” katanya pada sidang media bersama di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Fadillah berkata, GPS berterima kasih dengan usaha kerajaan Pakatan Harapan mahu meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan. Namun katanya, usaha itu nampak terburu-buru dan tidak mengambil kira kepentingan pemegang taruh.

“Kita merasakan ia dibuat secara terburu-buru tanpa memberi peluang pemegang taruh serta semua yang terbabit untuk mengkaji dan membincangkan inti pati pindaan yang dicadangkan sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

“Pindaan berkenaan seharusnya diperhalusi sebaik mungkin dengan mengambil kira pandangan semua pihak pemegang taruh di peringkat Persekutuan, Sabah, dan Sarawak,” kata ahli Parlimen Petra Jaya itu.

Kami mahukan satu jawatankuasa khusus, kata Ahli Parlimen Santubong Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 April, 2019.

Beliau mencadangkan agar pindaan itu ditangguhkan sehingga perundingan di peringkat Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai hak-hak Sarawak dan Sabah di bawah Perlembagaan dimuktamadkan.

“Sarawak juga tetap dengan pendirian sebarang pindaan perlu di bawa ke peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terlebih dahulu sebelum di bawa ke Dewan Rakyat,” kata Fadillah lagi.

Pengerusi bersama Gabungan Bersatu Sabah (GBS), Jeffrey Kitingan pula berkata, pindaan berkenaan melibatkan masa depan semua rakyat dan perlu diperhalusi sebaik mungkin.

“Ini kita tidak ada politik, ini soal masa depan Sabah, Sarawak, dan Malaysia. Kalau tidak beri perhatian kepada pindaan Perlembagaan ini, masa depan Malaysia akan hancur, ini sangat penting. 

“Pindaan yang dibawa ini sama juga, kami mahu menjadi rakan kongsi yang sama rata,” katanya, kepada pemberita.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata pihaknya berpendapat pindaan yang harus dibawa hendaklah bersifat menyeluruh.

“Kami bersetuju dengan pandangan ahli Parlimen Sabah dan Sarawak, pindaan ini tak perlu terburu buru dibentang kerana ia hanya melibatkan satu perkara, mengenai negeri, dulunya di bawah artikel 1(2), semua negeri sebaris, sekarang ada kumpulan, A dan B.

“Ini bukan yang ditunggu-tunggu, apa yang perlu adalah pindaan secara menyeluruh,” kata ahli Parlimen Bera itu.

Pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dua majoriti ahli Parlimen.

Dalam ucapannya semasa sambutan Hari Malaysia di Kuching, Sarawak pada 16 September tahun lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Putrajaya akan mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu yang setara dalam Malaysia selepas kajian terhadap MA63 selesai.

Semasa membentuk Malaysia pada 1963, Perlembagaan Persekutuan menyebut Persekutuan Malaysia terdiri daripada Tanah Melayu, negeri Borneo Sabah dan Sarawak serta Singapura, yang kemudiannya keluar dari persekutuan pada 1965.

Peruntukan 1(2) itu kemudian dipinda pada 1976 dengan memasukkan Sabah dan Sarawak sebagai antara negeri-negeri dalam Persekutuan. – 4 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen