Mejar sakit mental cuba langgar pagar pejabat presiden di Seoul


Seorang penyiasat di balai polis itu berkata pihak tentera memaklumkan beliau bahawa mejar tersebut telah dilepaskan daripada pasukan tentera darat sebaik sahaja dia disahkan mengalami penyakit mental. – Gambar AFP, 4 April, 2019.

SEORANG pegawai tentera telah diberkas kerana didakwa cuba memandu keretanya untuk merempuh pagar pejabat kepresidenan Cheong Wa Dae, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik kenyataan sumber polis pada Khamis.

Balai Polis Jongno berkata kereta sedan BMW dipandu pegawai tentera berpangkat Mejar itu, yang namanya dirahsiakan, telah merempuh satu halangan di depan pagar tersebut pada kira-kira pukul 10.30 malam Rabu.

Petugas keselamatan telah menahan lelaki itu di lokasi kejadian dan merujuknya ke balai polis kerana disyaki menghalang pegawai yang berkenaan menjalankan tugas mereka. 

Polis kemudian telah menyerahkan suspek kepada polis tentera pada kira-kira pukul 5.30 pagi Khamis.

Seorang penyiasat di balai polis itu berkata pihak tentera memaklumkan beliau bahawa mejar tersebut telah dilepaskan daripada pasukan tentera darat sebaik sahaja dia disahkan mengalami penyakit mental.

“Kami belum dapat mengetahui motif beliau di sebalik insiden itu kerana berdepan masalah tidak dapat berkomunikasi dengannya secara normal,” katanya.

Lelaki itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. – Bernama, 4 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen