SETIAUSAHA Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) Jens Stoltenberg hari ini berkata pakatan tentera tidak mahu berdepan dengan satu “perlumbaan senjata baharu” dengan Rusia sambil mendesak Moscow mematuhi perjanjian pengawalan senjata yang bersejarah, lapor agensi berita China Xinhua.
“Kita tidak mahu satu perlumbaan senjata baharu, kita tidak mahu satu Perang Dingin baharu,” kata Stoltenberg ketika berucap di mesyuarat bersama Kongres Amerika Syarikat (AS), antara acara kemuncak semasa kunjungannya ke Washington bagi meraikan ulang tahun ke-70 pakatan itu.
Ucapan pemimpin Nato itu banyak menyentuh isu Rusia, dan menggesa negara itu mematuhi Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF), satu persetujuan peluru berpandu yang dimeterai antara Washington dan Moscow lebih tiga dekad lalu bagi membendung perlumbaan senjata.
Sementara itu, Stoltenberg menjelaskan Nato akan “mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memberikan pencegahan yang boleh dipercayai dan berkesan” terhadap Rusia.
Semasa ucapannya, Stoltenberg turut menggesa perpaduan dalam blok itu sambil mengenal pasti penyimpangan yang serius.
“Soalan sering dilontarkan di kedua-dua belah lautan Atlantik berkaitan keutuhan kerjasama kita. Dan, ya, terdapat perbezaan pendapat,” katanya.
Presiden AS Donald Trump menyalahkan negara anggota Nato dan mendakwa mereka tidak mencapai tanda aras 2% dalam perbelanjaan ketenteraan.
Nato kini mengadakan rundingan dua hari menteri-menteri luar untuk memperingati penubuhannya selama tujuh dekad.
Rusia dijangka menjadi isu utama perbincangan.
Perjanjian INF, yang dimeterai pada 1987 antara Kesatuan Soviet dan AS, adalah persetujuan pertama yang dicapai oleh Washington dan Moscow berkaitan pelucutan senjata nuklear dan langkah utama bagi menyekat perlumbaan senjata.
Bagaimanapun, kedua-dua pihak saling menuding jari antara satu sama lain berkaitan isu mencabul perjanjian pengawalan senjata di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Moscow mengumumkan pada awal Mac berkaitan penangguhannya dalam mematuhi pakatan itu, yang diikuti keputusan serupa oleh Washington pada Februari. – Bernama, 4 April, 2019.
Komen