Kami tahu apa sumbangan Mat Hasan, kata pengundi


SM Amin

Pembangunan yang dibawa oleh Mohamad Hasan – daripada yang kecil seperti lampu isyarat di pekan Rantau sehinggalah kepada projek mega Malaysia Vision Valley (MVV) – bukti perkhidmatan beliau jadi wakil mereka sejak 2004. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 April, 2019.

PENDUDUK di Rantau tahu apa yang sudah disumbangkan oleh Mohamad Hasan sejak beliau jadi wakil rakyat kawasan itu sejak 15 tahun lalu, termasuk sumbangannya semasa memegang jawatan menteri besar Negeri Sembilan, kata pengundi di kawasan itu.

Kata mereka, pembangunan yang dibawa oleh Mohamad – daripada yang kecil seperti lampu isyarat di pekan Rantau sehinggalah kepada projek mega Malaysia Vision Valley (MVV) – bukti perkhidmatan beliau jadi wakil mereka sejak 2004.

Pesara kerajaan Yazid Ismail, 71, yang kini menetap di Semenyih, Selangor yakin penduduk asal Rantau sepertinya, walaupun tidak lagi menetap di kawasan tersebut, tetap akan pulang memberi sokongan kepada timbalan presiden Umno itu pada hari pengundian 13 April nanti.

“Ini memang kawasan dia (Mohamad). Jadi orang tidak mengabaikan atau melupakan dia. Mereka (penduduk) mengenang budi jasa-jasa Tok Mat selama ini,” katanya, menyebut panggilan mesra Mohamad dalam kalangan penduduk setempat.

“Kita tengok pembangunan di Sendayan cukuplah, dengan TUDM pindah sana, program Vision Valley dari Seremban 2 hingga ke Sendayan dan kawasan berhampiran… semua sudah membangun,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau ditemui ketika menghadiri ceramah kempen Barisan Nasional di Bandar Ekar Rantau malam tadi, yang menampilkan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.

Pesara kerajaan Yazid Ismail, 71, yang kini menetap di Semenyih, Selangor yakin penduduk asal Rantau sepertinya tetap akan pulang memberi sokongan kepada timbalan presiden Umno itu pada hari pengundian 13 April nanti. – Gambar The Malaysian Insight, 4 April, 2019.

Rantau adalah satu daripada empat kerusi dewan undangan negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimen itu. Pada Pilihan Raya Umum ke-14 hampir setahun lalu, Rantau tidak mengundi setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Mohamad menang tanpa bertanding.

Mahkamah Pilihan Raya pada 16 November bagaimanapun mengisytiharkan kemenangan itu tidak sah dan terbatal. Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu, dan mengarahkan satu pilihan raya baru diadakan semula.

Mohamad sekali lagi jadi calon mempertahankan kerusi yang beliau wakili sejak 2004. Beliau ditentang calon Pakatan Harapan Dr S Streram, yang sepatutnya bertanding pada PRU14 tetapi disekat oleh SPR daripada masuk ke pusat penamaan calon – sekatan yang membawa kepada pilihan raya semula sekarang.

Dua calon bebas juga bertanding iaitu R Malar, seorang suri rumah dan Mohd Nor Yasin, yang pernah bertanding di Gemencheh pada 2013.

Mohamad sebelum ini mengakui beliau tiada strategi tertentu menghadapi PRK Rantau, selain berharap rakyat mengenang jasa dan sumbangannya selama ini.

Afiq Afandi, 33, seorang lagi pengundi di Rantau berkata pembangunan yang Mohamad bawa ke kawasan itu tidak mengira kaum. Beliau menyebut pembinaan Kompleks Pusat Islam Rantau dan kuil besar Sri Maha Mariamman di Felda Sendayan.

“Saya lahir di sini. Nampak perbezaan di Rantau ini. 15 tahun dahulu tiada pembangunan di sini. Bila dia (Mohamad) ambil alih, banyak sudah berubah. Masjid besar ihsan beliau dan ada juga kuil besar di Sendayan. 

“Orang sini tahu dan rasa apa yang Tok Mat buat. Orang luar boleh cakap macam-macam sebab mereka tidak nampak dan rasa,” katanya.

Rantau mempunyai lebih 20,922 pengundi yang memilih pada PRK ini, dengan pecahan Melayu 54%, Cina 19% dan India 27%.

Sementara itu seorang peniaga Muthuveloo Paraman, 45, menyifatkan Mohamad sebagai seorang yang mudah didekati walaupun ketika menjawat jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan dan berlatar belakang korporat.

“Tidak kira apa bangsa Melayu, Cina, India semua Tok Mat jaga sama rata. Kita tidak dengar bila ada orang minta tolong, dia tidak bantu.

“Masa kita jumpa dia, dia sembang macam kawan dengan kita. Dia senang rapat bergaul dengan rakyat walaupun dia MB dulu,” katanya. – 4 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen