PM Fiji arah polis bebaskan wartawan New Zealand


Perdana Menteri Voreqe Bainimarama mengarahkan polis membebaskan wakil media New Zealand yang ditahan semalam ketika membuat liputan mengenai pembangunan resort China di Pulau Malolo. – Gambar AFP, 4 April, 2019.

PERDANA menteri Fiji hari ini mengarahkan polis membebaskan wakil media New Zealand yang ditahan ketika membuat liputan mengenai pembangunan resort China yang didakwa menyebabkan pencemaran alam sekitar di negara Pasifik itu.

Perdana Menteri Voreqe Bainimarama berkata penahanan polis menggunakan kekerasan dan beliau mendesak wartawan dan kru dibebaskan serta akan memohon maaf secara peribadi atas layanan yang diberikan terhadap mereka.

“Siasatan penuh punca kenapa pegawai terbabit menggunakan taktik kasar seperti itu akan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan.

New Zealand’s Newsroom, satu portal berita berkata tiga kakitangannya ditahan semalam selepas memasuki pejabat Suva, pemaju Freesoul yang dimiliki oleh China, dan sedang membina resort di Pulau Malolo di Fiji.

Media itu berkata Freesoul – yang berdepan pertuduhan melakukan kerosakan alam sekitar akibat pembangunan itu – enggan memberikan temu bual dan meminta wartawan terbabit pulang, di mana mereka kemudian meninggalkan pejabat itu.

Tetapi tidak lama kemudian mereka ditahan oleh polis sepanjang malam di balai polis Suva sebelum dibebaskan hari ini.

Pengarang bersama portal itu Tim Murphy berkata penahanan itu menunjukkan kuasa di Fiji oleh pemaju dari China, negara yang semakin rancak dalam aktivitinya di negara Pasifik sejak beberapa tahun terakhir ini, mencetuskan kebimbangan Australia dan Amerika Syarikat. – AFP, 4 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen