BEKAS pengerusi dan CEO Nissan, Carlos Ghosn ditahan semula awal hari ini di Tokyo atas satu tuduhan baharu salah laku kewangan, dengan jutawan automobil itu mengecam penahanannya sebagai “melampau dan sewenang-wenangnya”.
Pihak berkuasa menahan Ghosn, 65, kurang sebulan selepas beliau dibebaskan dengan ikat jamin selepas lebih 100 hari ditahan.
Media tempatan berkata pihak pendakwa raya memasuki kediaman sementara Ghosn di tengah Tokyo awal pagi tadi dan beliau keluar bersama mereka dengan menaiki kereta tidak lama kemudian.
Wartawan AFP di tempat kejadian berkata tiga lelaki berpakaian gelap kelihatan mengawal di pintu masuk bangunan letak kereta dan pegawai polis melakukan rondaan sementara berpuluh-puluh wartawan mula berkumpul.
Ghosn mengeluarkan kenyataan menerusi wakilnya selepas penahanan itu, dan menganggap tindakan itu sebagai “melampau dan sewenang-wenangnya”.
“Ini satu lagi usaha oleh sesetengah individu di Nissan untuk mendiamkan saya dengan memberi maklumat salah pada pendakwa. Saya tidak akan berputus asa,” katanya, bertegas mengatakan beliau tidak bersalah.
Laporan pada Rabu mengatakan pendakwa raya sedang mempertimbangkan untuk menahan semula Ghosn susulan siasatan dakwaan berkaitan sekurang-kurangnya AS$32 juta wang Nissan dipindahkan ke pengedar di Oman.
Menurut sumber, sebahagian wang itu dipercayai digunakan untuk membeli kapal mewah untuk Ghosn dan keluarganya.
Bekas eksekutif itu sudah pun berdepan tiga pertuduhan salah laku kewangan berkaitan tuduhan laporannya tidak lengkap berhubung pampasan dan mohon memindahkan kerugian ke akaun Nissan.
Beliau menafikan semua tuduhan dan buat pertama kali bercakap di Twitter menerusi akaun yang baharu.
“Saya bersedia beritahu perkara sebenar tentang apa yang berlaku. Sidang akhbar pada Khamis, 11 April,” katanya di Twitter dalam bahasa Inggeris dan Jepun. – AFP, 4 April, 2019.
Komen