Perihal keadilan dan negara Islam


Mohd Syazreen Abdullah

WACANA keadilan tiada habisnya. Hatta selepas kehidupan manusia, soal keadilan tidak sesekali hilang. Sebagaimana pada hari pengakhiran, manusia dihitung dan dineraca seadil-adilnya – al-mizan. Ketika itulah seluruh anggota tubuh berwacana menentukan sebaik-baik pengadilan terhadap diri. Kerana itu, wacana keadilan tidak pernah sunyi dalam sejarah.

Contohilah para nabi. Merekalah wakil kritikus sosial yang bersungguh-sungguh menentang penindasan termasuk kebobrokan kepemilikan harta dan kekuasaan yang tidak adil. Rasulullah diutus menjadi wira untuk mengajar umat bersikap adil dan melawan ketidakadilan – membela golongan miskin dan tertindas pada zaman itu.

Tumpuan nabi adalah memulihkan kestabilan, kekayaan ekonomi, pengagihan yang adil kepada umat. Justeru, syariah untuk mencapai kemaslahatan manusia lalu membentuk suasana kehidupan harmoni dan adil iaitu kebajikan.

Baginda mengutamakan perihal keadilan terlebih dahulu. Tidak sibuk melaungkan negara Islam sebagaimana yang disibukkan sebahagian Islamis hari ini. Terhegeh-hegeh mahu tegakkan hukum jenayah Islam. Ironinya, mereka kontang wacana keadilan.

Bentuk atau model keadilan yang bagaimana menjadi kayu ukur wacana Islamis hari ini bagi melawan kebobrokan sistem kapitalis, mengurangkan jurang kemiskinan rakyat di samping melawan penindasan terhadap kelompok minoriti yang hak asasinya dirampas? Alih-alih kita sekadar mendengar retorik laungan keadilan seperti “meletakkan sesuatu pada tempatnya”.

Maka, mustahil sifat yang membentuk syariat seiring dengan ketidakadilan. Malangnya, pesan agung ini tidak disambut secara serius oleh sebilangan umat. Peliknya, wacana itu kurang diberi perhatian dalam kalangan profesor, Islamis, politikus, penguasa dan umat khususnya di Malaysia.

Setelah meledaknya revolusi perindustrian, manusia menyusun hidupnya menjadi sosiobudaya yang berkembang di atas pundak selera politik dan ekonomi. Latar perkembangan sosioekonomi yang kompleks, wacana keadilan menjadi lebih rumit dan abstrak untuk ditinjau. Pergelutan memahami modenisasi dan industrialisasi bergolak lebih awal dalam tradisi di Barat.

Kegagalan memahami perihal keadilan sejarah membuktikan manusia seringkali berperang atas nama hak kepemilikan dan kekuasaan sehinggalah berlaku penindasan kepada kaum yang lemah – dominasi.

Inilah inti perbahasan tinjauan wacana keadilan yang digarap dengan baik oleh intelektual muda Malaysia, Hazman Baharom melalui karyanya “Perihal Keadilan” terbitan Strategic Information and Research Development Centre (SIRD) atau penerbitan Gerak Budaya.

Selama ini, perbincangan keadilan yang maha genting jarang sekali atau tiada sambutan di Malaysia khususnya dalam kalangan penutur bahasa Melayu.

Justeru, jihad intelektual Hazman membuka wacana dengan mengajak pembaca meneliti isu keadilan menurut pemikir Barat dari era pencerahan hingga pasca pencerahan. Seperti wacana keadilan oleh pemikir Hugo Grotius, John Locke, Hume, Hobbes, Immanuel Kant, Jeremy Bentham, John Stuart Mill, Henry Sidgwick sehinggalah penelitian terhadap John Rawls, Nozick, Walzer, dan Amartya Sen.

Semua idea digarap untuk memudahkan kefahaman pembaca dan disulami kritikan terhadap idea keadilan. Maka buku “Perihal Keadilan” buah terbaik buat umat yang ketiduran dek mereka menganggap keadilan sebagai suatu yang sakral dan muktamad. Walhal, sebahagian umat tidak segan silu merompak hak asasi manusia, mencabul keamanan, menindas minoriti, merompak harta rakyat, dan merampas hak kebebasan manusia – ketidakadilan.

Sebagaimana hari ini, manusia menjadi subjek dan objek. Yang lemah ditindas yang kuat. Yang berkuasa memegang kedaulatan yang kebal – autoritarian. Tidak pelik fenomena ketidakadilan terjadi dalam negara yang mengamalkan autoritarian walau atas nama agama sekalipun. 

Hudud atau perut rakyat?

Perihal keadilan bukan sekadar melaungkan “meletakkan sesuatu pada tempatnya” sebaliknya sebuah abstrak yang bermula dengan sejarah, konstruk negara, undang-undang, kerajaan dan warganegara. Ia meliputi wacana moral, keberdayaan, kepengagihan, kepemilikan, kesamarataan dan kesaksamaan. Itulah wacana yang melatari pergulatan pemikir Barat suatu ketika dahulu hingga kini.

Semua itu dibahas demi mencapai keadilan. Justeru, sebuah negara moden sejarah yang melatari kehidupan manusia yang kompleks. Tidak semudah kita tutupi wacana keadilan dengan mengatakan Al-Quran satu-satunya idea keadilan konkrit.

Walhal, Al-Quran memberi komitmen jitu terhadap keadilan. Pembacalah yang berfikir dan membangunkan prinsip asas Al-Quran – keadilan. Pemikir Barat sudah lama berbincang soal kemiskinan, kebebasan, moral demi melahirkan umat yang adil.

Ironinya kelompok Islamis mudah melabel pemikir-pemikir Barat sebagai liberal, sesat dan salah. Itulah sebahagian sikap Islamis di Malaysia. Bodoh dan sombong dek kemalasan intelektual mereka. Ibarat tin kosong – nyaring di luar, kosong di dalam.

Kalangan Islamis pula jarang memperkaya wacana keadilan. Balik-balik pemikir seperti Sayyid Qutb, al-Mawardi atau Hassan al-Banna diulang-ulang di bibir mereka. Walhal kehidupan kompleks menuntut pemahaman dan wacana yang segar untuk mendepani kes kontemporari global seperti kebuluran, kapitalisme industri, konsumerisme, perindustrian, kemiskinan, jurang kepemilikan harta, perkahwinan bawah umur, gender dan seksualiti, pembantaian etnik, yang akhirnya menatijahkan kemusnahan moral dan ketidakadilan – penindasan.

Akibat lemahnya daya nalar Islamis, wacana hukuman jenayah seperti hudud diratib – negara Islam. Wacana Islamis lebih memikirkan hudud daripada nasib perut rakyat.

Hazman menyebut hal ini pada halaman 35: “Di Malaysia khususnya, perbahasan tentang keadilan selalunya akan memasuki dan tersangkut di daerah keadilan jenayah lantas meminggirkan persoalan yang sama penting dengannya iaitu keadilan kepengagihan menyebabkan perbahasan dalam kalangan umat Islam pada kebanyakan masa, akan berkait persoalan hukum jenayah Islam seperti hudud, qisas atau ta’zir tetapi persoalan kewujudan dan mekanisme sebuah masyarakat yang adil masih gagal dibahaskan kecuali sedikit sekali.”

Maka jenayah hukum Islam lebih ditumpu berbanding isu keadilan yang sepatutnya difokus terlebih dahulu. Pada halaman 58, beliau menulis: “Jika isu pengagihan kekayaan dan kekuasaan gagal diuruskan dengan baik, keadilan jenayah terutamanya yang membabitkan harta akan gagal berfungsi dengan baik juga. Sebab itulah, tidak cukup jikalau kita percaya hanya dengan hudud dan qisas semua masalah masyarakat akan selesai.”

Kadangkala keadilan lebih tampak dan dirasai di negara bukan Islam berbanding negara yang acah-acah Islam. Misalnya, negara yang pencapaian tertinggi dalam bidang ekonomi, sosial, politik dan kebajikan rakyat ialah wilayah Skandinavia, berdasarkan indeks Pembangunan Manusia (HDI).

Takdir fatalistik dan candu penguasa

Kita tidak mahu Malaysia menjadi negara hipokrit dalam praktis keadilan – keagamaan. Kita membayangkan umat jadi sempurna melalui negara Islam – hukuman syariah. Walhal praktik jenayah hukum Islam pada hari ini yang kononnya dapat merawat sosial, nilai keadilannya masih tidak sempurna dan gagal mencapai maksud sebenar. Apatah lagi agama dijadikan candu penguasa untuk berlaku tidak adil kepada yang lemah.

Kita juga tidak mahu Malaysia menjadi negara yang berkiblatkan syariah jumud. Tidak habis-habis mahu memandulkan intelektual rakyat atas slogan muluk agama.

Sebahagian umat sudahlah malas memahami wacana keadilan, ditambah dengan konsep takdir yang bersifat fatalistik seperti merelakan maruah, keadilan, kehidupan kita terus mundur, disekat, dirobek atas nama takdir Tuhan – menjustifikasikan kezaliman dan ketidakadilan.

Maka, kita ajar umat yang miskin tertindas reda dengan nasib yang menimpa – memandulkan perlawanan ketidakadilan. Walhal semua punyai hak untuk menggapai keberdayaan dan pemilikan sebuah keadilan di dalam diri – hak, usaha, peluang dan potensi.

Maka benarlah janji Tuhan di dalam Al-Quran yang menyeru umat untuk bangkit menegakkan keadilan dan meletakkan diri kita di tempat selayaknya sebagai manusia.

Umat tidak mahu masyarakat Islamik luarannya tetapi selamba mencabul hak manusia. Tidak perlu jadi Islamik asalkan keadilan terbela, umat bebas merdeka dan dihormati dengan diiktiraf setara dalam kehidupan budaya dan agama yang pelbagai.

Sesungguhnya wacana keadilan milik bersama demi melahirkan kemanusiaan sejagat dan membina dunia lebih baik. Bukan memonopoli yang lemah – itu penindasan. – 4 April, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen