SIFAR, itu pulangan daripada perbelanjaan RM24 bilion dilakukan Barisan Nasional (BN) bagi program bantuan sosial 2016, daripada BR1M hingga makanan sekolah, kata Saifuddin Nasution Ismail.
Satu lagi sebab ialah kerana tiga daripada setiap 10 keluarga yang layak menerima bantuan, tidak tahu tentang program itu atau terkeluar daripada sistem pendaftaran, katanya.
Saifuddin berkata ketirisan dalam program itu menyebabkan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) meletakkan keutamaan menutup ketirisan itu supaya bantuan berkenaan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
Itu falsafah di sebalik program subsidi minyak bagi kumpulan B40 yang dijangka bermula bulan depan.
“Kesan program perlindungan sosial kami dikaji oleh pakar ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu iaitu Dr Amjad.
“Bagaimana kita membelanjakan wang untuk bantuan itu dibandingkan dengan cara Ireland dan Finland lakukan untuk jumlah bantuan yang sama,” kata Saifuddin dalam bual bicara tenang kos sara hidup di MIDF semalam.
“Cukup dengan mengatakan, impak sosial yang Ireland dan Finland dapat daripada bantuan mereka lebih baik berbanding Malaysia. Kerajaan beri RM24 bilion menerusi 113 agensi dan impak bersih terhadap pengurangan kemiskinan ialah sifar,” katanya yang juga ahli Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).
Saifuddin memberi contoh bagaimana program bantuan itu tidak diagihkan dengan sempurna dan akhirnya golongan miskin dan kaya turut menerimanya.

Salah satu contoh ialah minyak masak pek seliter subsidi sepatutnya untuk golongan miskin. Sebahagiannya diseludupkan ke Thailand dan digunakan di restoran mahal, kata Saifuddin.
Satu lagi bentuk bantuan yang semua orang termasuk golongan kaya, dapat menikmatinya ialah subsidi untuk petrol RON95.
“Malaysia menggunakan kira-kira 1.4 bilion liter petrol sebulan, antara kadar tertinggi di dunia kerana sistem pengangkutan awam kita terhad,” kata Saifuddin.
“Jumlah terbesar yang digunakan, kira-kira 90% ialah RON 95,” katanya, merujuk kepada jenis minyak yang harga siling RM2.20 per liter ketika era pemerintahan bekas perdana menteri Najib Razak, menerusi subsidi.
Jumlah diesel yang digunakan hanya 550,000 liter dan selebihnya ialah RON 97, yang tidak diberikan subsidi dan harganya mencerminkan pasaran dunia.
“Ini bermakna orang yang memandu BMW juga pam RON95 ke kereta mereka,” kata Saifuddin.
Sebaik saja sistem subsidi minyak dilaksanakan dengan betul dan kerajaan dapat mengurangkan bayaran untuk subsidi tertutup, jumlah penerima akan bertambah untuk memasukkan kumpulan M40 berpendapatan rendah. – 4 April, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen