Mahasiswa lapar ikat perut berjimat belanja makan


Diyana Ibrahim

Mahasiswa yang ditemui di UIAM Gombak, Selangor berkata makanan adalah perkara paling mahal dalam senarai perbelanjaan bulanan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 April, 2019.

MAHASISWA berlapar kerana tidak cukup duit untuk makan sekali lagi jadi tajuk berita baru-baru ini, dan The Malaysian Insight cuba meninjau pola perbelanjaan mereka – berapa wang yang mereka terima dan untuk apa wang itu dibelanjakan.

Dengan pinjaman daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), persoalannya ialah apakah sukar untuk mahasiswa makan tiga kali sehari – sarapan, makan siang dan makan malam?

Makanan seimbang tiga kali sehari rupanya tidak terjangkau oleh mahasiswa terutamanya dari keluarga berpendapatan rendah atau kumpulan B40.

Mahasiswa yang ditemubual di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak, Selangor, berkata makanan adalah perkara paling mahal dalam senarai perbelanjaan bulanan mereka.

Kumpulan mahasiswa ini mendedahkan betapa mereka bergantung pada program makanan percuma untuk pelajar miskin yang disediakan pelbagai pihak di universiti.

Antara yang menyediakan program itu ialah Persatuan Alumni UIAM bersama Tabung Wakaf UIAM dan sukarelawan pelajar. Ia mengendalikan bantuan untuk 200 pelajar yang memerlukan dengan menyediakan makanan percuma untuk mereka tiga kali seminggu.

Persatuan itu membelanjakan RM2,400 sebulan, kata presidennya Khalek Awang.

“Kita sudah mulakan bantuan ini sejak tiga tahun lalu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Satu kaji selidik Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia pada 2016 menunjukkan tiga daripada empat pelajar di universiti awam tidak mampu membeli makanan.

Kaji selidik terhadap 25,632 mahasiswa daripada enam universiti itu mendapati 57% daripada mereka memperuntukkan RM5 sehari bagi perbelanjaan makanan.

Sebanyak 44% daripada pelajar memilih untuk makan mi segera manakala 41% hanya makan nasi dengan telur goreng dan sos.

Kajian ini juga mendapati 96% daripada mereka berada di bawah tekanan ekonomi, manakala 97% berkata mereka mahu menggunakan bantuan kewangan.

Daniel Mutalib (kiri) bersama Abdul Rahman Mohamed lilam berkata duit pinjaman PTPTN dan biasiswa digunakan untuk membayar yuran setiap semester. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 April, 2019.

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna baru-baru ini memperluaskan program Food Bank Malaysia ke kampus, manakala Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menggesa sektor swasta dan persatuan bekas pelajar turun tangan memberikan bantuan.

The Malaysian Insight bertemu mahasiswa di UIAM untuk memahami perbelanjaan mereka dan bagaimana mereka mengaturnya dengan duit biasiswa, keluarga, pinjaman PTPTN, serta latar belakang keluarga mereka.

* Hanisah Kamaruzaman, 20, tahun pertama kursus sains kemanusiaan.

Ayahnya nelayan, ibunya tukang cuci. Hanisah yang berasal dari Pahang menggunakan duit pinjaman PTPTN untuk membayar yuran RM1,500 satu semester.

“Kalau ikutkan duit PTPTN tak cukup sebab saya perlu bayar yuran. Mak ayah ada beri duit sebulan RM100.

“Belanja harian paling banyak digunakan untuk makanan. Sebulan boleh sampai RM300 itu pun dalam keadaan berjimat.

“Kemudian kena tengok kos beli buku dalam RM100, RM200 tapi saya tak beli semua buku.

“Selalu kalau nak jimat saya makan dua kali sehari – pagi dan tengah hari atau berpuasa – sahur dan berbuka puasa.

“Kalau nak beli makanan pun saya tak akan ambil makanan berlauk, biasa macam nasi ayam dalam RM4 atau RM5 boleh dapat. Air bawa sendiri, masak di kolej.

“Ada satu ketika pernah terputus duit belanja, tapi mujur ada rakan bagi pinjam duit untuk beli makanan.”

* Muhamad Muslim, 24, tahun tiga jurusan undang-undang.

Pelajar dari Kelantan ini tidak meminjam dari PTPTN. Beliau tidak juga memohon biasiswa. Kos pengajiannya bergantung pada pencen ayahnya yang sudah tiada. Beliau juga bekerja sambilan untuk mendapatkan duit tambahan menyara diri sendiri kerana ibunya tidak bekerja.

Ditanya kenapa tidak meminjam PTPTN, pelajar dari enam beradik ini menegaskan beliau tidak mahu berhutang selepas habis belajar.

“Emak setiap bulan beri wang saku RM400. Saya pun ada bekerja separuh masa sebagai pembancuh kopi dengan upah RM30 seminggu.

“Perbelanjaan saya paling tinggi pada makanan, dalam sehari saya peruntukkan RM10… jadi sebulan RM300.

“Kalau untuk beli buku saya tidak beli. Saya pinjam dari perpustakaan atau pinjam kawan, jadi jimat di situ.”

* Muhamad Syahmi Omar, 23, tahun tiga usuluddin

Pelajar dari Johor ini bernasib baik. Ayahnya pemandu lori, ibunya suri rumah. Beliau dapat biasiswa yayasan negeri RM3,000 untuk satu semester.

Anak dari empat beradik ini mengaku tanpa duit yayasan sukar untuknya menampung perbelanjaan harian di universiti.

“Masa tahun pertama saya tak dapat bantuan yayasan. Jadi bayar yuran terpaksa guna duit simpanan KWSP ayah.

“Bila dah ada duit yayasan saya senang sikit. Saya peruntukkan dalam RM12 untuk makan sehari.

“Untuk buku saya tak banyak keluarkan belanja, cuma awal semester yang banyak sikit beli buku. Satu buku boleh cecah dalam RM70 ke RM100.

“Ada yang saya beli baru atau beli buku terpakai, tengok pada subjek.”

Aishah Umairah Zulkifli (tengah) bersama Hanisah Kamaruzaman (kiri) berkata mereka berjimat untuk duit makan dan berjalan kaki atau naik bas percuma. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 4 April, 2019.

* Daniel Mutalib, 23, tahun tiga jurusan teknologi maklumat dan komputer

Pelajar berasal dari Kuala Lumpur ini menggunakan duit PTPTN sebanyak RM2,500 untuk membayar yuran, dan selebihnya bagi menampung perbelanjaan harian sepanjang empat bulan pembelajarannya atau satu semester.

Walaupun ibunya yang bekerja di syarikat swasta memberikan wang saku RM500 namun Daniel berjimat cermat mengawal belanja.

“Saya tetap jimat cermat, saya akan lebihkan untuk beli buku. Pengangkutan kalau keluar kita naik LRT.”

“Jadi memang makan kita kawal sikitlah. Sebab harga makanan universiti memang agak mahal, paling murah berlauk dalam RM6-RM7 ada nasi, ayam atau ikan dan sayur. Itu belum lagi kalau nak makan untuk sarapan dan malam. Biasa peruntukkan dalam RM10 sehari.

“Untuk jimat saya tak makan tengah hari, kalau dah sarapan. Atau kalau nak jimat lagi ambillah makanan dengan program ini atau mana-mana program yang bagi makanan percuma.”

“Tapi pelajar macam kami terutama lelaki ini susah sikit nak berjimat makan sebab memang akan lapar. Keluarga ada bagi tip suruh beli biskut banyak-banyak makan masa malam kalau lapar.”

* Abdul Rahman Mohamed lilam, 24, tahun tiga kuliah teknologi maklumat dan komputer

Pelajar dari Pahang ini bergantung pada biasiswa yayasan negeri sebanyak RM2,500 bagi satu semester untuk menampung perbelanjaan harian dan membayar yuran.

Rahman tidak meminta wang saku daripada ibu bapanya yang bekerja sebagai peniaga.

 “Saya ambil juga upah reka kad, jadi selesalah sikit. Makan memang saya jimatkan tapi bergantung juga kadang-kala sehari RM5, atau RM10.

“Kalau ada program bagi makanan percuma memang saya akan ambil atau bila malam saya akan makan mi segera saja.

“Kalau perbelanjaan beli buku, tengok kursus. Macam kami pelajar IT kena beli komputer riba dan pencetak itu memang wajib, kalau tak susah kami nak siapkan tugasan.

“Saya tak banyak sangat guna telefon dalam RM20 sebulan sebab universiti ada kemudahan wifi percuma. Untuk projek akhir semester saya peruntukkan dalam RM50-60.

“Duit untuk hiburan itu setakat duit wayang ada jugalah, yang kadang belanja lebih untuk keluar hujung minggu. Tapi itu tak selalu, dalam sebulan paling banyak dua kali.”

* Aishah Umairah Zulkifli , 22, tahun pertama kursus ekonomi

Pelajar dari Terengganu ini menggunakan duit pinjaman PTPTN untuk membayar yuran RM1,500 bagi setiap semester.

Beliau tidak meminta wang saku dari keluarga yang bekerja sebagai peniaga sebaliknya menampung pengajian dengan menggunakan wang simpanannya.

“Memang saya akan jimat cermat terutama makan, kadang sehari sekali. Saya akan sediakan RM5 sehari untuk makan. Kalau kos pengangkutan, saya jalan kaki atau naik bas yang disediakan percuma.

“Buku tak beli sangat sebab nak jimat. Beli yang penting lepas itu saya tulis nota. Yang selalu guna belanja beli tambah nilai sebulan dalam RM20-RM30.

“Kalau untuk hiburan kita akan keluar pergi KL, setakat minum air dan cuci mata… dah habis ‘stress’ baliklah.” – 4 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen