Bersatu pinda perlembagaan parti Mei ini


Diyana Ibrahim

Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad berkata, pindaan dijangka akan menetapkan beberapa perkara melibatkan soal perjalanan dan urusan pemilihan parti, antaranya sistem pengundian ada seorang ahli satu undi atau perwakilan bahagian.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2019

BERSATU akan mengadakan mesyuarat agung khas Mei ini untuk meminda perlembagaan parti, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, draf perlembagaan baru itu dikemukakan untuk pertimbangan pucuk pimpinan parti hari ini.

“Kita baru dapat cadangan perlembagaan itu hari ini. Jadi kita tidak dapat bincang dengan mendalam.

“Tetapi kita setuju untuk adakan EGM tahun ini untuk pinda perlembagaan. EGM akan diadakan Mei ini,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Petaling Jaya hari ini.

Pindaan perlembagaan itu dijangka akan menetapkan beberapa perkara melibatkan soal perjalanan dan urusan pemilihan parti, antaranya sistem pengundian ada seorang ahli satu undi atau perwakilan bahagian.

Dr Mahathir juga memberitahu pemilihan Bersatu akan diadakan tahun ini, namun tidak menyebut bila ia akan diadakan.

Mengenai penubuhan Bersatu di Sabah, Dr Mahathir berkata parti melebarkan sayap ke Sabah bukan untuk cuba menggantikan Parti Warisan Sabah sebagai kerajaan negeri sebaliknya mengukuhkan kerajaan yang sedia ada.

Beliau sekali lagi menegaskan Bersatu tiada hajat atau niat mahu mengambil alih kerajaan sedia ada.

Jelas perdana menteri, kehadiran Bersatu sebagai sokongan kepada Warisan dan menjamin ahli partinya tidak akan merebut sebarang jawatan.

“Saya nak beritahu keadaan semasa parti Bersatu akan pergi Sabah dan ini bukan satu perkara tidak bermasalah.

“Sebenarnya kita ada masalah sebab ada orang mengatakan yang kita Bersatu cuba ambil kesempatan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran pihak yang tidak bersetuju dengan kehadiran Bersatu di Sabah tidak perlu menyertai parti itu.

“Tak payahlah masuk Bersatu, parti Bersatu didedikasikan untuk penyokong Warisan dan Bersatu di Sabah dan kita beri pengakuan ini.”

Bersatu dijadual dilancarkan di Sabah pada Sabtu ini.

Ditanya mengenai siapa yang akan mengetuai Bersatu di Sabah jawabnya: “Masih tiada keputusan dan akan diumumkan masa pelancaran.” – 3 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen