CADANGAN Putrajaya untuk memperkenalkan unit saham amanah bagi kaum India adalah “tidak masuk akal” memandangkan mereka bergaji kecil dan tiada simpanan,kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.
Semalam, Presiden MIC Dr. S. Subramaniam mengumumkan Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) dijangka akan menerbitkan dua bilion unit saham amanah untuk kaum India di negara ini dalam tempoh lima tahun.
Beliau yang juga menteri kesihatan berkata tawaran itu bagi menaikkan taraf ekonomi kaum India dan akan dibuka menerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada dua kategori iaitu golongan isi rumah berpendapatan rendah B40 dan kategori terbuka untuk semua kaum India.
“Kerajaan kata mereka mencari pinjaman tanpa faedah, tetapi sebenarnya mereka tetap perlu meletakkan jumlah pokok, katan Charles.
Bagaimanapun, Charles berkata sasaran utama Putrajaya adalah mereka yang berpendapatan hanya cukup-cukup makan yang sebahagian besarnya adalah pekerja separuh mahir seperti pekerja kilang dan perindustrian.
Beliau berkata jelas sekali rakyat yang akan memperoleh manfaat daripada unit saham amanah ini adalah golongan pertengahan dan golongan kaya kerana mereka mempunyai simpanan.
Kata Charles lagi, masih ada ramai lagi orang India yang menganggur dan isi rumah yang bergantung kepada seorang pencari nafkah.
Menurut laporan MIB terdapat kira-kira 57,624 isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan, 71,148 isi rumah berpendapatan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan; dan 112, 896 berpendapatan antara RM3,000 dan RM4,000 sebulan.
Laporan tersebut turut menganggarkan 3,528 isi rumah atau 0.6% diklasifikasikan sebagai di bawah garis kemiskinan.
Dr Denison Jayasooria dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata walaupun skim bagi golongan B40 India itu satu inisatif yang baik, namun manfaatnya hanya akan dapat dilihat dalam tempoh 10 tahun.
“Memupuk budaya menyimpan itu baik tetapi skim itu tidak akan dapat menigkatkan kedudukan sosio-ekonomi mereka dalam sekelip mata.
“Ia memerlukan kemahiran baru, mungkin pinjaman mikro untuk perniagaan mikro atau pekerjaan yang lebih baik,” katanya.
Beliau juga menambah walaupun ia adalah skim yang amat diperlukan tetapi apa yang lebih penting ialah memupuk budaya usaha sendiri dan berdikari bagi masyarakat India.
Skim unit saham amanah masih dalam perbincangan di antara PNB dan Program Pembangunan Sosio-Ekonomi Masyarakat India (Sedic).
Antara cadangan bagi kumpulan B40 ialah 20% subsidi dan pinjaman tanpa faedah bagi pembelian unit saham amanah.
Santiago berkata Sedic sepatutnya lebih fokus dalam memastikan golongan India ini mendapat gaji dan kemahiran yang lebih baik.
“Masyarakat India lebih perlukan gaji yang lebih tinggi. Tumpuan harus diberikan kepada pembangunan belia dan bukan dengan mengadakan seminar semalaman.
“Mesti ada perancangan sistematik untuk pastikan mereka mendapat kemahiran untuk memperbaiki diri,” katanya. – 13 September, 2017.
Komen