Ahli Parlimen DAP gesa KPN letak jawatan berhubung siasatan Suhakam  


Looi Sue-Chern

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, hasil siasatan Suhakam itu sangat serius dan perlu perhatian segera. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2019

DENGAN pasukan Cawangan Khas polis dinamakan sebagai pihak yang bertanggungjawab berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh dan pengasas Perlis Hope Amri Che Mat, ketua polis perlu letak jawatan atau digantung dan berdepan siasatan, kata ahli Parlimen DAP. 

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), yang menjalankan siasatan awam berhubung kehilangan yang berlaku lebih dua tahun lalu, hari ini mendedahkan pasukan Cawangan Khas yang menculik dua aktivis berkenaan. 

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata, dua lelaki terbabit dilarikan oleh pasukan Cawangan Khas Bukit Aman dan tidak ditemui sehingga kini. 

Ramkarpal Singh, yang merupakan pengerusi biro undang-undang DAP berkata, dapatan suruhanjaya itu adalah “sangat serius dan perlu diberi perhatian segera”.

Untuk mengelakkan kecurigaan berlakunya berat sebelah, katanya Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun perlu meletakkan jawatan atau digantung tugas sehingga siasatan berhubung dapatan itu selesai.

“Walaupun (Fuzi) mungkin tidak secara peribadinya bertanggungjawab, beliau merupakan pengarah Cawangan Khas ketika itu. Beliau seharusnya berundur dan memberi laluan kepada siasatan dijalankan secara bebas. 

“Tidak ada keraguan bahawa siasatan sedemikian mesti dimulakan kerana kredibiliti seluruh anggota polis telah dikompromi secara serius sebagai akibat daripada perkara itu, terutama sekali kerana semua ini menafikan sebarang pengetahuan mengenai kehilangan kedua-dua mereka.

“Siasatan seperti itu tidak akan bebas daripada kecurigaan berat sebelah sekiranya Fuzi terus mengetuai pasukan polis dan sebarang persepsi mengenai perlindungan perlu dielakkan dalam apa cara sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan. 

Ramkarpal, yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor, berkata kerajaan Pakatan Harapan juga mesti menunjukkan keinginan politik yang kuat dalam menangani perkara itu dengan menggantung Fuzi jika beliau tidak meletakkan jawatan.

Beliau berkata pentadbiran perlu mengutamakan usaha untuk memastikan pembebasan Koh dan Amri.

“Mereka yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan dan tidak ada yang terlepas dalam siasatan.”

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago mendakwa Fuzi menyembunyikan maklumat mengenai Koh dan Amri walaupun keluarga mereka masih menaruh harapan dan tidak berputus asa. 

“Ini adalah kejam dan Fuzi mesti disiasat kerana cuba menutup pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

“Kerajaan juga mesti menyiasat pegawai polis lain yang terlibat dalam jenayah ini dan mula mengisytiharkan kes-kes ini sebagai kehilangan paksa,” katanya dalam satu kenyataan.

Santiago berkata, penculikan ini adalah pelanggaran berat terhadap kuasa polis dan polis tidak mempunyai hak untuk meletakkan mereka di luar perlindungan undang-undang dan jika perlu pelaku didakwa mahkamah terbuka.

“Sudah tiba masanya untuk menubuhkan satu suruhanjaya bebas aduan dan salah laku polis, tanpa sebarang penangguhan. 

“Idea ini dicadangkan 14 tahun lalu dan tidak memerlukan perbincangan atau maklum balas daripada Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.”

Beliau berkata, rakyat Malaysia perlu berasa selamat di negara sendiri. 

“Kita perlu percaya yang polis sentiasa menjaga kita, akan lindungi kita. Namun kita tak percaya.”

Terdahulu hari ini, keluarga Koh dan Amri berkata mereka akan memfailkan saman sivil jika pihak berkuasa tidak bertindak atas penemuan siasatan dalam tempoh enam bulan. – 3 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen