KESATUAN Eropah (EU) mengecam undang-undang baharu Brunei dengan mengatakan beberapa hukuman di bawah syariah itu menyeksa dan melanggar hak asasi manusia antarabangsa.
Undang-undang yang diperkenalkan termasuk pelaku zina dan homoseksual akan dikenakan hukuman rejam dengan batu sampai mati manakala pencuri berdepan hukuman potong tangan telah mencetuskan kekecohan dan kritikan global daripada ahli politik, selebriti dan kumpulan hak.
“Beberapa hukuman jenayah itu dilihat kejam, tidak beperikemanusiaan atau satu penghinaan,” kata jurucakap EU dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu berkata, hukuman itu melanggar konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap penyeksaan yang ditandatangani Brunei pada 2015.
“Adalah penting kerajaan Brunei memastikan pelaksanaan Perintah Kod Penalti tidak melanggar hak asasi manusia dan konsisten dengan semua komitmen serta tanggungjawab hak asasi manusia antarabangsa dan serantau yang dilakukan oleh Brunei Darussalam,” kata kenyataan itu sambil menambah bahawa EU akan menjangka Brunei mengekalkan moratorium de factonya terhadap hukuman mati.
Undang-undang yang dilaksanakan Brunei ini merupakan yang pertama di Timur atau Asia Tenggara menjalankan kod syariah di peringkat kebangsaan yang kebanyakannya disertai negara Timur Tengah seperti Arab Saudi.
Keputusan meneruskan hukuman selepes bertahun-tahun ditunda itu mencetuskan kejutan dengan PBB melabelkan mereka kejam dan tidak berperikemanusiaan sementara selebriti diketuai pelakon George Clooney dan bintang pop Elton John membuat keputusan memboikot hotel milik Brunei. – AFP, 3 April, 2019
Komen