SEORANG pegawai penyiasat kanan hari ini memberitahu inkues beliau tidak tahu bagaimana Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun boleh mendakwa anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dipukul oleh perusuh.
Pengawai Penyiasat ASP Lew Keng Joe berkata kenyataan Fuzi pada November tahun lalu selepas rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman tidak membantu siasatan.
Kata Lew, beliau tidak tahu bagaimana ketua polis negara itu boleh membuat kesimpulan bahawa Adib dipukul.
“Saya tahu kenyataan yang dibuat oleh KPN tetapi ia tak banyak membantu siasatan, saya tak tahu bagaimana KPN boleh kata begitu.
“Saya rasa beliau menemubual beberapa orang di Pusat Perubatan Subang Jaya, jadi dari situ beliau buat kesimpulan,” lew memberitahu mahkamah di Shah Alam hari ini.
Apabila ditanya oleh pegawai pengendali inkues mengenai bagaimana Fuzi boleh mengeluarkan kenyataan berani itu, Lew menjawab, “Mahu saya rakam kenyataan KPN? Mungkin anda perlu panggil KPN dan tanya beliau”.
Fuzi semasa sidang media 29 November lalu mendakwa Adib dipukul.
Lew berkata tiada seorang pun saksi yang memberitahu polis melihat Adib diserang perusuh.
“Tiada saksi beritahu Adib dipukul. Mereka kata mereka dengar seorang anggota bomba dipukul, tetapi tiada seorang pun yang tampil dan kata dia (Adib) dipukul,” tambahnya.
Lew juga menjelaskan empat lelaki yang ditahan selepas rusuhan itu dibebaskan selepas siasatan menunjukkan mereka tidak meneyrang Adib.
“Mereka ditahan di Jasin, Melaka. Selepas disoal siasat, kami dapati mereka tidak terlibat dan dibebaskan.” – 3 April, 2019.
Komen