APABILA Liza (bukan nama sebenar) mengesyaki dijangkiti penyakit kelamin (STD) daripada pasangannya, kesedihannya bertukar menjadi takut dan malu ia diketahui jika mendapatkan rawatan perubatan di klinik biasa.
Ketika itu dia cuba mencari di internet untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan yang tepat. Pencariannya menemukan dengan laman sesawang perundingan perubatan dalam talian yang pertama di Malaysia, DoctorOnCall (DOC).
“Saya rasa lebih selesa ‘berjumpa’ doktor dalam talian, daripada pergi ke klinik atau hospital, di mana terdapat begitu ramai orang,” kata Liza selepas sesinya dengan doktor.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai keadaan saya apabila ada orang lain yang mungkin mendengar,” katanya, sambil menambah STD dihidapinya sudah pun dirawat.
Tepati keperluan industri perubatan
Idea DOC, adalah untuk menyediakan satu cara kepada pesakit Malaysia menjimatkan wang disebabkan bil perubatan dan pada masa sama tidak menjejaskan kesihatan mereka.
Maran Virumandi, bekas perunding pengurusan yang kini memiliki dan menguruskan kumpulan klinik perubatan, melancarkan DOC dengan rakan kongsinya, Hazwan Najib memandangkan peningkatan kos penjagaan kesihatan di negara ini.
Penyelidikan Mercer Marsh Benefits tahun lalu mendapati kos perubatan dijangka naik 11.5% berbanding kadar inflasi 2.1% di Asia.
Kajian dengan 171 syarikat insurans di seluruh rantau ini pada tahun lalu mendedahkan Malaysia mencatatkan peningkatan kos kedua tertinggi psebanyak 17.3%, diikuti Vietnam 19.3%.
“Lawatan ke pengamal perubatan (GP) swasta boleh menyebabkan kos beberapa ratus ringgit. Rawatan untuk demam boleh mencecah sehingga RM120 hingga RM140,” kata Maran.
Kos menjalankan operasi klinik dan hospital swasta juga naik, dengan Persatuan Perubatan Malaysia (MAA) dilaporkan menganggarkan lebih 500 klinik swasta ditutup dalam tempoh lima tahun lalu.
Dengan DOC, pesakit hanya membayar RM20 bagi perundingan melalui webchat, perbualan video atau panggilan telefon.
Jika terdapat preskripsi pada akhir diagnosis, pesakit boleh memilih mengambil ubatan daripada farmasi gabungan, atau penghantaran ke rumah mereka.
Dr Adeline Peters, seorang daripada doktor maya “on-call”, berkata semua pesakit hanya perlu melayari laman sesawang www.doctoroncall.com.my dan memasukkan simptom mereka.
“Mereka boleh berbual dalam talian, atau berbincang dengan doktor sedia ada melalui panggilan telefon atau video.
“Kami biasanya bermula dengan memperkenalkan diri, sebelum meminta izin meneruskan perundingan video,” katanya kepada The Malaysian Insight melalui panggilan video ke DOC.
Dr Peters, GP keluarga yang juga pakar dalam kesihatan wanita, berkata doktor akan bertanya soalan untuk membantu mereka mendiagnosis keadaan pesakit, dan memberikan nasihat perubatan am.
“Jika doktor mengesyaki ia mungkin sesuatu yang lebih sekadar batuk atau demam, beliau akan mengesyorkan pesakit mengambil ujian di klinik terdekat,” katanya, sambil menambah kebanyakan kes dikendalikannya tidak rumit.
Masa depan industri penjagaan kesihatan Malaysia?
DOC kini mempunyai lebih 2,000 pesakit, termasuk beberapa di luar Kuala Lumpur dan pelancong asing, dijalankan 10 klinik rakan kongsi dan 30 doktor dengan pengalaman merangkumi lapan hingga 15 tahun.
Maran berkata beliau yakin lebih ramai doktor dan kumpulan perubatan akan mengambil konsep itu tidak lama lagi, sambil menambah doktor boleh menggunakan masa tidak sibuk mereka – apabila tiada pesakit di klinik – menerima pesakit dalam talian.
“Ia adalah satu platform terbuka seperti Uber dan Grabcar. Para doktor dikumpulkan sebagai satu sumber, dan mereka tidak bertugas sebagaimana waktu bekerja di pejabat,” katanya.
Maran berkata, platform itu bukan sahaja memungkinkan pesakit mendapatkan nasihat perubatan daripada doktor di negeri lain, tetapi juga memberi peluang untuk mendapatkan pandangan kedua bagi penyakit mereka.
Walaupun masih satu konsep baru di Malaysia, Maran berkata konsep teleperubatan sudah wujud di Amerika Syarikat sejak 20 tahun lalu.
“India menggunakan cara ini untuk membantu mengembangkan sektor pelancongan perubatan,” kata beliau.
Maran berkata selain membantu syarikat mengurangkan kos penjagaan kesihatan untuk kakitangan, platform ini juga boleh membantu mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan.
Penghalang utama kepada pertumbuhan teleperubatan di Malaysia ialah kekurangan peraturan kerajaan untuk memantau diagnosis perubatan dibuat dalam talian, kata Maran.
“Kami ditanya jika ini benar atau satu penipuan. Mungkin konsep ini masih terlalu revolusioner,” katanya.
Beliau berkata DOC berunding dengan Kementerian Kesihatan, MMA dan Majlis Perubatan Malaysia mengenai perkara itu, sambil menambah syarikat itu bekerjasama dengan MMA bagi mewujudkan garis panduan.
“Tidak ada akta yang mengawal doktor bekerja dalam talian. Akta Teleperubatan belum diwartakan di Malaysia,” katanya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, doktor “on call” tidak berurusan dengan dadah berbahaya dan hanya boleh mendiagnosis atau memberi preskripsi ubatan selepas perbualan telefon atau video dengan pesakit.
“Kami sentiasa memberitahu doktor kami agar tidak tersilap mengdiagnosis, menasihati pesakit tidak berbohong dalam percubaan untuk mendapatkan ubatan tertentu.
“Para doktor akan cenderung menjadi lebih konservatif apabila berurusan dengan pesakit dalam talian,” katanya.
Di sebalik segala kemudahan dan penjimatan kos yang menjadi tarikan utama pesakit, sebilangan besar pengguna DOC mendapati privasi ditawaran perkhidmatan ini, tarikan paling besar.
Keadaan paling biasa yang dikendalikan doktor dalam talian termasuk sakit tekak, sakit kepala, kecederaan ringan, keadaan kulit dan mata, selsema, demam, dan sembelit.
Dan banyak kes dengan penyakit kelamin.
Maran berkata apabila mereka bermula pada April tahun lepas, pengguna awal DOC adalah mereka yang mempunyai isu STD seperti Liza.
Maran berkata, mereka mempunyai ramai pesakit terdiri daripada wanita muda yang mencari nasihat mengenai pengawalan dan ujian kehamilan, dan pekerja industri seks yang bimbang dijangkiti AIDS serta isu kesihatan lain.
“Ramai daripada mereka mencari saluran persendirian dan sulit bagi perundingan perubatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Orang ramai tidak mahu pergi ke klinik di kawasan kediaman mereka untuk mendapatkan rawatan bagi isu seperti itu.” – 9 April, 2017
_virtual-doctor-how-it-works(cs6)(1).jpg)
Komen