PUTRAJAYA tidak mempunyai rancangan untuk mengeluarkan lesen kepada parti politik bagi menubuhkan stesen televisyen mereka sendiri.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, tidak ada rancangan seperti itu ketika menjawab soalan Oscar Ling (Sibu-PH) yang meminta lebih banyak lesen televisyen dan radio dikeluarkan pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat pagi tadi.
Ahli Parlimen dari Sarawak itu memetik kenyataan berita baru-baru ini bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) merancang menubuhkan saluran televisyennya sendiri untuk menyampaikan maklumat dan berita serta program tempatan lain.
“Adakah kerajaan akan mengeluarkan lesen itu kepada parti politik?,” tanya Ling.
“Setakat ini, tidak ada rancangan seperti itu,” jawab Eddin.
Kerajaan Malaysia memiliki saluran televisyen percuma di RTM iaitu TV1 dan TV2.
Agensi berita kerajaan Bernama memiliki saluran berita Bernama sementara Alhijrah Media Corporation di bawah Jabatan Perdana Menteri mengendalikan TV Alhijrah.
Konglomerat Media Prima memiliki TV3, NTV7, 8TV dan TV9.
Penyedia perkhidmatan TV berbayar satelit swasta Astro menyiarkan lebih dari 100 saluran televisyen tempatan dan antarabangsa lain. – 3 April, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen