Khalid, bekas ketua polis, enggan ulas siasatan Suhakam


Alfian Z.M. Tahir

Bekas Ketua Polis, Khalid Abu Bakar menolak untuk mengulas rumusan siasatan terhadap kes aktivis hilang dengan mengatakan bahawa semua pertanyaan harus diberi kepada Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 April, 2019

BEKAS Ketua Polis, Khalid Abu Bakar menolak untuk mengulas rumusan siasatan terhadap kes aktivis hilang dengan mengatakan bahawa semua pertanyaan harus diberi kepada Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun.

Khalid merupakan ketua polis negara ketika pastor Raymond Koh dan pengasas Perlis Hope, Amri Che Mat diculik lebih dua tahun lalu.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang menjalankan siasatan terhadap kehilangan mereka hari ini mendedahkan bahawa pasukan Cawangan Khas polis telah menculik kedua-dua aktivis ini.

“Tanya kepada KPN. Saya bukan lagi KPN,” kata Khalid kepada The Malaysian Insight.

Menurut laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM), Fuzi merupakan pengarah Cawangan Khas dari 2015 hingga 2017 ketika Koh dan Amri diculik.

Koh diculik pada 13 Februari 2017 di Petaling Jaya manakala Amri pada 24 November 2016 di Perlis.

Khalid dan beberapa pegawai Cawangan Khas memberi keterangan dalam siasatan sepanjang tahun di ibu pejabat Suhakam di Kuala Lumpur.

Dalam satu sidang akhbar sebelum siasatan, Khalid berkata polis menyerbu sebuah rumah suspek pengedar dadah di Kampung Weng Dalam, Kedah dan menemui gambar dipercayai rumah Koh dan kereta miliknya.

Serbuan itu dilakukan selepas suspek terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan polis di kampung berkenaan pada 17 Jun lalu.

“Kami percaya kumpulan ini mempunyai kaitan dengan penculikan Koh,” kata Khalid.

Namun pada Januari tahun lalu, Fuzi mengumumkan bahawa mereka telah mendakwa suspek, Lam Chang Nam pada 15 Januari lalu yang terlibat dalam penculikan Koh.

Fuzi berkata, polis masih mencari tujuh lagi yang terlibat.

The Malaysian Insight cuba menghubungi pihak polis dan sedang menunggu maklum balas. – 3 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen