AHMAD Zahid Hamidi berkata beliau tidak pernah mengeluarkan arahan kepada polis untuk bertindak terhadap dua aktivis, susulan pendedahan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) bahawa polis yang bertanggungjawab terhadap kehilangan dua individu itu.
Bekas timbalan perdana menteri itu yang juga menteri dalam negeri ketika kehilangan itu berlaku, berkata beliau belum membaca hasil siasatan Suhakam yang didedahkan kepada umum pagi ini.
“Tiak ada arahan diberikan oleh saya atau ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri. Saya harap siasatan akan dijalankan secara profesional,” katanya di lobi Parlimen hari ini selepas Suhakam mengumumkan keputusannya hari ini.
Laporan Suhakam mendapati polis bertanggungjawab atas kehilangan dua aktivis, Pastor Raymond Koh dan Pengasas Perlis Hope Amri Che Mat, lebih tiga tahun lalu.
Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berkata Koh dan Amri diculik oleh pasukan Cawangan Khas dari ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman, dan tidak akan ditemui lagi.
“Ejen kerajaan terbabit,” katanya pagi tadi.
Zahid berkata semua pihak perlu menghormati keputusan Suhakam yang mendapati polis dalang kehilangan Koh dan Amri.
“Tetapi tolong juga tunjuk rasa hormat terhadap polis dalam hal ini. Sebarang siasatan yang perlu dibuat mesti dilakukan dengan profesional,” katanya.
Siasatan awam itu ditubuhkan tahun lalu untuk memastikan sama ada Koh, Amri dan dua yang lain – Pastor Joshua Hilmy dan isterinya, Ruth – adalah mangsa hilang paksa.
Mengikut undang-undang hak asas manusia antarabangsa, hilang paksa berlaku apabila seseorang individu diculik atau dikurung secara rahsia oleh ejen kerajaan atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga untuk ejen kerajaan, disokong atau persetujuan ejen kerajaan atau organisasi politik. – 3 April, 2019.
Komen