“APAKAH suami kami sudah mati?”
Ini soalan yang ditanya oleh kedua-dua isteri aktivis yang hilang, Amri Che Mat dan Raymond Koh selepas tamatnya siasatan kehilangan mereka yang merupakan mangsa hilang paksa.
“Saya tidak tahu apa status anak-anak saya? Adakah mereka anak yatim?,” soal isteri Amri, Norhayati Mohd Arifin pada sidang akhbar selepas pembentangan hasil siasatan yang diumumkan oleh panel Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini.
Norhayati dan isteri Koh, Susanna Liew menangis apabila pesuruhjaya dan Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai membacakan kesimpulan siasatan.
Panel itu sebulat suara bahawa pasukan Cawangan Khas polis menculik kedua-dua lelaki itu lebih tiga tahun lalu dalam penculikan gaya komando.
Liew berkata, kedua-dua wanita itu mengumpul kekuatan di antara satu sama lain dalam tempoh tiga tahun lalu.
Mereka saling memberi sokongan moral, emosi dan kewangan di antara satu sama lain, tambah Liew.
“Ini bukan pengakhiran. Ini hanya permulaan untuk mendapatkan kebebasan beragama dan hak asasi manusia,” katanya.
Kedua-dua wanita itu berkata, mereka berpuas hati dengan penemuan siasatan tersebut, tetapi memberi masa enam bulan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selepas panel siasatan Suhakam memutuskan pasukan Cawangan Khas menculik kedua-dua mereka.
KELUARGA aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh yang hilang memberi tempoh enam bulan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selepas panel siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memutuskan pasukan Cawangan Khas menculik kedua-dua mereka.
Amri, pengasas Perlis Hope, diculik pada 24 November, 2016 selepas dipantau kerana didakwa menyebarkan ajaran Syiah.
Koh pula diculik pada 13 Februari, 2017. Laporan polis dibuat terhadap Koh beberapa bulan kemudian atas dakwaan memurtadkan golongan muda. – 3 April, 2019.
Komen