
SEPULUH tahun lalu, Najib Razak duduk di kerusi perdana menteri. Hari ini beliau akan duduk di kerusi yang lain.
Beliau akan duduk di dalam kandang tertuduh bagi menghadapi perbicaraan pertamanya, mengakhiri penangguhan selama dua bulan.
Walaupun dilihat tidak sabar untuk dibicarakan dengan menggesa ia disiarkan secara langsung, peguam Najib terus berusaha menangguhkan perbicaraan lagi, memfailkan permohonan semakan keputusan mahkamah tertinggi yang akan didengar pada Khamis.
Peguamnya, Harvinderjit Singh berkata pihak pembelaan meminta semakan semula keputusan oleh panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan, yang diketuai oleh Ketua Hakim Richard Malanjum, yang membuat keputusan minggu lalu bahawa Mahkamah Rayuan tidak lagi boleh menghalang perbicaraan SRC International.
Hari ini tepat 10 tahun selepas Najib mengangkat sumpah sebagai perdana menteri. Ia merupakan kejatuhan luar biasa apabila pemimpin berusia 65 tahun itu tersenarai sebagai pemimpin Asia yang didakwa rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara masing-masing.
Perbicaraan hari ini memberi tumpuan kepada urus niaga kewangan dari unit subsidiari 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang ditubuhkan oleh Najib ketika beliau menjadi perdana menteri pada 2011, yang mengkhusus dalam pelaburan sumber tenaga.
Pemilikan SRC kemudian diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan.
Najib berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram, dan satu penyalahgunaan kuasa melibatkan wang berjumlah RM42 juta yang dimiliki oleh SRC.

Bekas presiden Umno itu meminta untuk dibicarakan kepada semua pertuduhan pada Julai dan Ogos tahun lepas.
Perbicaraan itu awalnya dijangka bermula 12 Februari hingga 29 Mac, tetapi ditangguh dua kali selepas Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan sementara menunggu rayuan berkaitan.
Najib juga mendakwa perbicaraan pada Februari terhadap tiga lagi pertuduhan berasingan berkaitan dengan SRC International, dengan tuduhan melakukan pengubahan wang haram sebanyak RM47 juta lagi.
Pendakwa mungkin akan memohon perbicaraan bersama dengan tujuh pertuduhan SRC awal yang dihadapi Najib.
Urus niaga SRC dibuat melalui entiti domestik dan tidak melibatkan bank asing. Pendakwaan mungkin akan bergantung kepada jejak kertas, disokong oleh kesaksian saksi daripada pegawai bank dan bekas pegawai SRC.
Dengan 3,000 muka surat bukti dokumen, termasuk kenyataan 26 saksi, pendakwa dijangka mengemukakan kesnya bahawa Najib dan isterinya, Rosmah Mansor, menyalahgunakan dana negara bagi membiayai gaya hidup mewah mereka.
Selepas pihak pendakwaan membuat kenyataan pembukaannya hari ini, mahkamah boleh memanggil saksi memberi keterangan.
Hari ini juga, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan menetapkan tarikh perbicaraan selanjutnya dan berkemungkinan tarikh untuk kes 1MDB, yang pada awalnya ditetapkan bermula pada 15 April sehingga 3 Mei.
Bagi kes 1MDB, Najib menghadapi 21 pertuduhan pengubahan wang haram dan empat tuduhan penyalahgunaan kuasa berhubung RM2.28 bilion dalam dana 1MDB.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
5.38pm: Najib disambut laungan “Malu Apa Bossku” dan takbir sebaik sahaja keluar dari kompleks mahkamah oleh penyokongnya.
5.33pm: Shafee memberitahu mahkamah beliau mempunyai banyak kes esok dan tidak dapat hadir ke mahkamah.
“Saya tidak boleh didesak kedua-dua belah pihak. Saya mempunyai kes lain yang mana tertuduh telah dipenjarakan sejak 2012. Oleh itu mereka lebih penting,” katanya kepada mahkamah.
Thomas memberitahu Shafie ia bukan alasan yang baik.
“Kedua pihak mempunyai kumpulan peguam. Tetapi tiada peguam sangat diperlukan. Ketidakhadiran seorang peguam tidak boleh menjadi alasan untuk penangguhan dan kita perlu teruskan pada 8 April dan 9 April.
Beliau memberitahu mahkamah sekiranya Shafee tidak dapat datang, peguam lain di pihak pembelaan boleh teruskan dan mampu menyoal saksi pendakwaan.
Untuk itu kata Shafee, sebagai peguam utama dan beliau perlu hadir.
“Saya perlu menyelia pasukan saya. Hanya ada satu jeneral dalam pasukan saya,” katanya kepada mahkamah.
Hakim Mohd Nazlan memberitahu kedua-dua pihak terdapat beberapa keutamaan dalam kes ini.
“Oleh itu saya tetapkan 15 April hingga 10 Mei untuk sambung semula. Ada notis yang memadai untuk hal-hal lain diatur. Kita akan mula 9 pagi,” katanya.
Mahkamah ditangguhkan untuk hari ini.
4.45pm: Pendakwaan selesai mengesahkan maklumat dan dokumen yang disediakan Muhammad sebagai bukti kes.
Peguam Najib Harvinder, meminta saksi untuk mendapatkan senarai dokumen penyerahan berhubung semua urusniaga berkaitan SRC International. Beliau juga meminta kepada Muhammad semua maklumat yang berkaitan dengan Yayasan 1Malaysia Development Berhad.
4.30pm: Hampir satu jam, Muhamad Akmaluddin Abdulla meneruskan keterangannya. Beliau menyampaikan butiran tentang SRC dan pemegang sahamnya. Pendakwa dan peguam bela mengesahkan pelbagai dokumen dengan beliau.
4.20pm: Seorang lelaki berbaju merah dipercayai penyokong Najib melaungkan “hancur, hancur, hancur media asing! Hancur kezaliman, hancur PH, hancur DAP, lawan tetap lawan, beberapa kali sebelum ditenangkan pihak polis di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
3.35pm: Peguam Najib, Harvinderjit, berhujah yang kenyataan pembukaan pihak pendakwa tidak mengikut Kanun Tatacara Jenayah. Beliau membacakan perenggan demi perenggan untuk mengetepikan tuduhan.
“Semua kenyataan ini bukan bukti penipuan,” katanya.
Sithambaram (pendakwa) berkata peguam Najib hanya mencari jalan untuk tangguh perbicaraan.
“Selama 40 tahun saya berkhidmat, ini baru pertama kali kenyataan pembukaan dibahaskan. Ini satu lagi cubaan untuk mengalih perhatian mahkamah dan melengahkan prosiding,” katanya.
Hakim bersetuju dan meminta pendakwaan memanggil saksi pertama mereka.
Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia Muhamad Akmaluddin Abdullah, 35, memberi keterangan.

3.30pm: Thomas membacakan pelbagai transaksi yang masuk ke dalam akaun Najib dan bagaimana ia dilakukan.
Kemudian, Thomas memaklumkan mahkamah yang pihak pendakwaan akan menunjukkan bagaimana Najib menggunakan wang itu.
“Kami akan kemukakan bukti untuk menunjukkan bagaimana ce-kcek yang dikeluarkan untuk dibelanjakan di Chanel Honolulu, untuk kerja-kerja ubah suai di kediamannya di No 11 Jalan Langgak Duta dan pelbagai bayaran kepada ahli politik Barisan Nasional,” kata Thomas.
Thomas selesai membacakan kenyataan pembukaannya.
Sekarang, giliran peguam Najib pula membaca kenyataan pembukaan.
3.20pm: Najib tidak menunjukkan sebarang rekasi sejak duduk di kandang tertuduh. Beliau hanya asyik membetulkan cermin matanya.
3.15pm: Thomas mulakan pendakwaan.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa tertuduh, Najib Razak, ketika menjadi perdana menteri juga memegang jawatan menteri kewangan.
“Tidak cukup dengan kedua-dua jawatan itu, dia juga pengerusi dan penasihat kepada Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International. Kuasa penuh tidak terletak di tangan ahli-ahli lembaga pengarah, tetapi di tangan tertuduh.
Thomas memberitahu mahkamah bahawa tertuduh tidak kebal dari undang-undang dan harus dijadikan contoh kepada orang lain. Beliau juga berkata perbicaraan ini adalah yang pertama daripada banyak kes kleptokrasi melibatkan 1MDB.
3.05pm: Najib berdiri ketika tuduhan dibacakan oleh pegawai mahkamah.
Tujuh pertuduhan dibacakan.
2.55pm: Selepas mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan, Hakim Nazlan mengarahkan supaya perbicaraan diteruskan.
“Usul ini dikemukakan hari ini sedangkan tuduhan difailkan pada Ogos. Tiada keperluan untuk mendengar usul dan dengan itu perbicaraan harus dimulakan sekarang,” arah Nazlan.
Pihak pendakwaan mulakan kes.
2.45pm: V. Sithambaram berhujah bagi pihak pendakwa.
“Mereka kata perbicaraan ini teruk, kami kata tidak. Dan jika ianya teruk, kami akan ambil risiko. Tidak menjejaskan kes mereka. Mereka mahu mencabar pertuduhan sedangkan ia difailkan pada Ogos.
“Kes ini boleh diteruskan dan rayuan mereka boleh didengar kemudian. Ini hanya untuk melengahkan perbicaraan dengan mendengar usul mereka,” katanya.
2.30pm: Pasukan pembelaan diketuai oleh Harvinderjit Singh dan bekas peguam cara Yusof Zainal Abidin berhujah mengapa mahkamah perlu menimbang usul mereka untuk menangguhkan perbicaraan.
Yusof: Ini hanya satu cubaan untuk tangguh perbicaraan hanya selepas usul kami dilihat dan didapati dangkal.
Pasukan pembelaan kemudian menyerahkan dokumen kepada Nazlan.
2.18pm: Thomas menjawab yang usul itu tidak sampai ke pejabatnya. Thomas beritahu mahkamah yang beliau menerima satu set dokumen untuk penangguhan menerusi e-mel pada 11.30 pagi tadi.
“Tuduhan pertama difailkan pada 4 Julai dan dipinda pada Ogos. Sudah lapan bulan dan mereka masih tunggu pagi tadi untuk cabar pertuduhan. Proses perbicaraan sedang dicabar.
“Mereka berani mencabar pada jam 2.15 petang pada 3 April sebelum saya baca pembukaan,” katanya.
Ini semata-mata hanya melengahkan perbicaraan, katanya.
2.15pm: Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mula duduk. Peguam Negara Tommy Thomas memperkenalkan pasukannya dan memaklumkan kepada hakim mengenai pemerhati perbicaraa.
“Kami sudah bersedia untuk mula,” kata Thomas.
Bagaimanapun, peguam Najib, Muhammad Shafee membantah.
“Kami sudah memfailkan usul mengenai perkara-perkara bersangkut dengan undang-undang yang perlu diambil sebelum perbicaraan bermula. Kami sudah kemukakan permohonan supaya usul itu diteliti,” katanya.
2.08pm: Najib duduk di belakang barisan pasukan pendakwa.
Seramai 40 wartawan berada dalam kamar mahkamah.
Najib kini bergerak ke kandang tertuduh. Mahkamah memulakan sesi perbicaraan.
2.05pm: Pasukan pendakwa yang diketuai olah Peguam Negara Tommy Thomas dan pasukan pembelaan diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah berada di tempat masing-masing.
1.50pm: Najib tiba di mahkamah, disambut kira-kira 20 penyokong dengan bacaan doa dan laungan “Hidup Najib” di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Beliau turut diiringi anaknya, Ashman Najib. – 3 April, 2019.
Komen