Keluarga Amri, Koh beri 6 bulan untuk pihak berkuasa bertindak


Noel Achariam Ragananthini Vethasalam

Isteri aktivis Amri Che Mat, Norhayati Mohd Ariffin dan isteri Pastor Raymod Koh, Suzanna Liew berkata mereka akan memfailkan saman jika tiada tindakan diambil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 April, 2019.

KELUARGA aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh yang hilang memberi tempoh enam bulan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan selepas panel siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) merumuskan pasukan Cawangan Khas menculik kedua-dua mereka.

Isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin dan isteri Koh, Suzanna Liew berkata mereka akan memfailkan saman jika tiada tindakan diambil.

Selain pihak berkuasa termasuk peguam negara perlu bertindak dalam tempoh itu, mereka juga mahu bertemu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Ketua Polis Negara  Mohamad Fuzi Harun juga perlu memaklumkan sebarang perkembangan mengenai kes ini, kata Korhayati dan Liew.

“Jika tiada sebarang tindakan, maka kami akan failkan saman terhadap pihak berkuasa,” kata mereka ketika ditemui pemberita selepas Suhakam mendedahkan kesimpulan atas siasatan kehilangan Amri dan Koh hari ini.

Panel siasatan Suhakam merumuskan Amri dan Koh adalah mangsa hilang paksa dan melibatkan ejen kerajaan. Kesimpulan juga adalah keputusan sebulan suara panel.

Norhayati dan Liew juga menggesa satu pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat kes ini. – 3 April, 2019.

Berita penuh di sini.      


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen