Hanya 1% rakyat Malaysia anti vaksin, kata timbalan menteri


Looi Sue-Chern

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata Kementerian Kesihatan komited untuk mewajibkan vaksinasi kepada bayi meskipun berdepan cabaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 April, 2019.

HANYA 1% rakyat Malaysia yang menentang vaksin, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Beliau juga berkata golongan anti vaksin di negara ini kurang efisien berbanding di negara lain.

“Melalui maklum balas yang kami terima, kumpulan ini kurang daripada 1% (penduduk),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Lee manjawab soalan Mustapa Mohamed (Jeli-PH) mengenai pendirian Kementerian Kesihatan untuk mewajibkan vaksinasi ke atas bayi baru lahir dan apakah langkah yang akan diambil kementerian dalam menangani ibu bapa yang enggan anak mereka divaksin.

Kementerian Kesihatan sebelum ini berkata ia komited untuk mewajibkan vaksinasi meskipun berdepan cabaran.

Golongan anti vaksin di Malaysia bimbang mengenai status halal vaksin. Ramai antara mereka percaya vaksin mengandungi DNA babi.

Lebih separuh kes ibu bapa menolak vaksin antara 2013 dan 2016 dilaporkan berlaku di negeri majoriti penduduk Islam seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pahang.

Penolakan ini tetap berlaku meskipun jabatan agama menegaskan semua vaksin yang dihasilkan di Malaysia adalah halal.

Lee berkata kerajaan melibatkan pelbagai pihak - daripada pakar kesihatan dan organisasi kesihatan sehinggalah kepada pusat jagaan kanak-kanak serta jabatan agama seperti pejabat mufti untuk membetulkan salah faham ini.

Tambah beliau, kementerian juga menyampaikan maklumat yang tepat kepada ibu bapa melalui media sosial.

“Kami juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk memantau akaun media sosial yang menyebarkan maklumat palsu berkenaan vaksinasi.”

Lee berkata pengamal perubatan yang memberi maklumat salah kepada ibu bapa akan dirujuk kepada Majlis Perubatan Malaysia untuk diambil tindakan.

Tindakan sewajarnya juga akan diambil terhadap mereka yang menggunakan isu ini untuk kepentingan sendiri, contohnya untuk mempromosikan perubatan homeopati, katanya. – 3 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen