Gagal kesan aktivis, panel siasatan Suhakam mohon maaf


Noel Achariam Ragananthini Vethasalam

Isteri aktivis Amri Che Mat, Norhayati Mohd Ariffin dan anaknya, Nadia Nazurah menangis sebaik sahaja panel mengumumkan kesimpulan siasatan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 April, 2019.

SUASANA hiba menyelubungi sidang siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) apabila Pesuruhjaya Weng Kwai memohon maaf kepada keluarga Amri Che Mat kerana gagal menjejakinya selepas panel merumuskan aktivis itu adalah mangsa kehilangan paksa.

Isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin dan anaknya, Nadia Nazurah menangis sebaik sahaja panel mengumumkan kesimpulan siasatan mereka.

Mah yang mempengerusikan panel itu melahirkan rasa simpati atas kesedihan yang terpaksa ditanggung oleh keluarga Amri.

“Kami mohon maaf… kami kesal kerana gagal mengesan di mana Amri Che Mat berada,” kata Mah.

Norhayati dan isteri Pastor Raymond Koh, Suzanna Liew yang duduk bersebelahan dilihat saling berpelukan, menenangkan perasaan sedih masing-masing. 

Kedua-duanya kemudian meminta izin ke tandas dan enggan menjawab sebarang soalan dari media. Selepas itu, mereka kembali semula ke bilik di mana sidang siasatan diadakan.

Bagaimanapun, mereka yang menemani Norhayati memberitahu pemberita Norhayati berpuas hati dengan kesimpulan Suhakam.

Terdahulu, panel hari ini sebulat suara memutuskan bahawa ejen kerajaan terlibat dalam misteri kehilangan Amri dan Koh. Ini berdasarkan bukti yang diperolehi ketika siasatan awam yang dijalankan sepanjang tahun.

“Bukti menunjukkan dia diculik oleh ejen kerajaan. Tiada bukti menunjukkan dia ditahan polis, tetapi dia diculik,” kata Mah.

Panel berkata Amri dan Koh diculik oleh pasukan Cawangan Khas dari ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman.

Amri, pengasas Perlis Hope, diculik pada 24 November, 2016 selepas dipantau kerana didakwa menyebarkan ajaran Syiah.

Koh pula diculik pada 13 Februari, 2017. Laporan polis dibuat terhadap Koh beberapa bulan kemudian atas dakwaan memurtadkan golongan muda. – 3 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen