BERIKUTAN tunjuk perasaan yang berlangsung selama sebulan kerana membantah keputusannya untuk bertanding bagi penggal kelima, Presiden Algeria Abdelaziz Bouteflika pada Selasa akur dengan desakan itu dan meletak jawatan, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik agensi berita rasmi APS.
Keputusan Bouteflika dibuat beberapa jam selepas Panglima Angkatan Tentera Algeria Leftenan Jeneral Ahmed Ahmed Gaid Saleh mendesak agar beliau “segera berundur”.
Dalam satu kenyataan, Saleh mengulangi komitmen ketenteraan untuk “melaksanakan artikel perlembagaan berkaitan kekosongan dalam jawatan presiden,” sambil menambah “keputusan kami adalah jelas dan tidak boleh ditarik balik, kerana kami berdiri bersama-sama rakyat sehingga tuntutan mereka dipenuhi”.
Kenyataan Saleh dibuat sehari selepas Bouteflika berjanji untuk meletak jawatan sebelum tempoh penggalnya berakhir secara rasmi pada bulan ini.
Menyifatkan kenyataan Boutaflika pada Isnin sebagai dikeluarkan oleh “kuasa bukan berperlembagaan dan bukan secara langsung oleh beliau,” Saleh berkata “tentera Algeria tidak akan menerima keputusan yang melangkaui perlembagaan”.
Pada Februari, parti pemerintah Barisan Pembebasan Kebangsaan mencalonkan Bouteflika, yang berusia 82 tahun dan telah memerintah Algeria sejak 1999, untuk bertanding bagi penggal kelima.
Bagaimanapun, pada 11 Mac, susulan tunjuk perasaan yang berlangsung selama beberapa minggu kerana membantah hasrat beliau untuk bertanding, Bouteflika secara tiba-tiba menunda pengundian yang asalnya ditetapkan pada 18 April, dan secara rasmi menarik balik pencalonannya. – Bernama, 3 April, 2019.
Komen