HAMPIR 900,000 dos vaksin kolera tiba pada Selasa di Mozambique, yang mencatat lebih 1,000 kes penyakit cirit-birit maut itu selepas dibadai taufan Idai, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Kementerian Kesihatan Mozambique mengesahkan terdapat 1,052 kes kolera selepas negara itu dilanda saiklon tersebut, yang mendarat pada 14 Mac berhampiran bandar pelabuhan Beira.
Majoriti kes iaitu 959, dicatat di Beira di mana satu kematian disahkan.
“Penyakit itu kini menular dengan cepat,” kata UNICEF sambil menambah kempen vaksinasi dijangka bermula pada Rabu.
“Perolehan vaksin adalah antara beberapa pendekatan yang diambil oleh UNICEF dan rakan kongsinya bagi mengekang penularan kolera selain mewujudkan semula sistem rawatan air serta mengedarkan produk penulenan air,” kata Michel Le Pechoux, timbalan wakil UNICEF di Mozambique.
“Pasukan kemanusiaan bertindak dengan pantas bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai gejala dan kaedah pencegahan, termasuk amalan kebersihan dan keperluan penting vaksinasi, terutama dalam situasi semasa yang membabitkan air bertakung dan kesesakan di pusat-pusat perlindungan,” katanya.
Awal minggu ini, pekerja bantuan kemanusiaan menubuhkan pusat rawatan kolera di Malawi, Mozambique dan Zimbabwe, tiga negara selatan Afrika yang dilanda Idai. – Bernama, 3 April, 2019.
Komen